Hiburan
Siti Nurhaliza Umum Hamil 4 Bulan
Akhirnya teka teki mengenai berita kehamilan kedua Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin sejak bulan lalu terjawab apabila penyanyi tersohor itu mengesahkan kini sudah hamil 4 bulan.
Siti Nurhaliza mendedahkan berita gembira tersebut ketika sidang media dan pelancaran BeauSiti X Wonderlab menerusi aplikasi Zoom sebentar tadi.
“Alhamdulilah, saya bersama dengan suami hari ini untuk berkongsi berita baik memang benar saya kini sedang hamil.
“Ada yang sudah agak dan berteka-teki sebab saya mendiamkan diri kerana dengan keadaan saya tak mengizinkan saya lebih selesa duduk di rumah.
“Doakan semoga kehamilan saya sampai waktu bersalin nanti berjalan lancar dan dapat melahirkan anak saya dengan sihat dan sempurna,” katanya.
Pengumuman itu dibuat di akhir sidang media tersebut.
Siti yang temani suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa turut melahirkan rasa kesyukuran dengan berita tersebut.
“Pertama sekali saya amat bersyukur dan gembira sekali kerana insya-Allah kami akan dikurniaakan seorang lagi cahaya mata tidak lama lagi,” katanya.
Terdahulu, ramai media berteka teki dengan berita tersebut selepas mellihat perubahan bentuk badan Siti Nurhaliza.