Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Siti Sanggup Jadi ‘Spy’ Intip Hun Haqeem!

Fiza Kamarudin
16/10/2020 09:04 MYT
Penghibur nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, mengakui sanggup menjadi pengintip untuk memerhatikan gerak geri pelakon kacak Hun Haqeem dan aktres Mira Filzah.

Tambah Siti lagi, dia turut mengenakan beberapa persalinan busana untuk mengekori Hun dan Mira yang ditampilkan khas dalam video muzik rasmi Siapa Tak Mahu.

“Penampilan saya di dalam video muzik ini agak berbeza kerana saya menjadi spy atau perisik dan memerhatikan gerak geri pasangan sedang bercinta, lakonan Mira Filzah dan Hun Haqeem.
“Saya juga mengenakan beberapa persalinan busana mengikut karakter,’’ katanya.

Penerima Anugerah Emas menerusi album fizikal ‘ManifestaSITI2020’ yang mencatat jualan sebanyak 5,000 unit itu juga berharap agar video muzik Siapa Tak Mahu dapat meneruskan promosi lagu tersebut.

“Saya berharap lagu dan video muzik Siapa Tak Mahu akan sama-sama mendapat tempat di hati para peminat dan ini merupakan di antara perancangan yang saya lakukan sebelum berehat supaya karya saya tetap berjalan”, ujarnya.

Video muzik lagu ciptaan Omar K, John Jeevasingham dan Ikhwan Fatanna itu bakal dilancarkan pada malam ini, jam 9 malam di saluran YouTube Siti Nurhaliza.

Macam mana nak date ni kalau pasangan Hun merajuk? Siapa boleh tolong? Akak kaunter tiket muzium ManifestaSITI, tolonglah Hun!!! Siapa yang tak mahu sayang disulam rindu cinta bagaikan bulan madu di setiap waktu beb?!! Tapi kalau dah merajuk, macam mana? Berjaya tak Hun pujuk Mira? Kalau nak tahu, esok 9 malam di Youtube Siti Nurhaliza! #SiapaTakMahu @ctdk @mfmirafilzah

A post shared by Hun Haqeem (@hunhaqeem) on

Universal Music Sdn.Bhd dan Siti Nurhaliza Productions(M) Sdn.Bhd. selaku penerbit telah memberi kepercayaan kepada syarikat produksi, Zeel Production untuk menghasilkan video muzik Siapa Tak Mahu.

Pengarahnya, Ghazi Maslan, memberi garapan visual secara sinematik sesuai dengan mesej nasihat bersahaja yang cuba disampaikan.

Bertepatan dengan maksud di sebalik lirik lagu Siapa Tak Mahu, video ini menceritakan bagaimana sesebuah hubungan itu akan berjalan lancar sekiranya setiap pasangan mengambil sikap untuk menghargai dan berbuat baik.

“Setiap hubungan pasti ada pasang surut tetapi sikap untuk berubah dan berusaha memperbaiki diri akan menyemarakkan lagi kasih sayang.

Mesej yang paling jelas di dalam lagu ni adalah jika mahukan pasangan yang baik kita juga perlu menunjukkan sikap yang sama. Begitulah beberapa unsur nasihat yang cuba disampaikan di dalam lagu ini,” katanya kepada Gempak.

Siapa Tak Mahu merupakan lagu keenam daripada album ‘ManifestaSITI2020’ yang diberikan pendamping visual selepas muzik video ‘Anta Permana’, Kasihku Selamanya, ‘Terang’, 7 Nasihat dan ‘Aku Bidadari Syurgamu'.

Pelancaran video muzik ini juga bertujuan untuk meneruskan promosi album ManifestaSITI2020 sewaktu Dato’ Sri Siti mengambil keputusan untuk berehat seketika.

Album ‘ManifestaSITI2020’ boleh didapati di platform digital seperti Spotify, Apple Music, YouTube Music, JOOX, iTunes, KKBox dan juga Deezer.

#Siti Nurhaliza #Hun Haqeem #Siapa Tak Mahu
;