Hiburan
Siti Sarah Berpanas 2 Jam Luar Istana Negara, Agih Minuman Percuma Untuk Media... "Saya Tabik Semangat Mereka"
Penyanyi Siti Sarah meluangkan masa lebih dua jam turun melihat sendiri rakan media yang bertugas di pintu Istana Negara berikutan senario politik semasa.
Pelantun lagu Kesetiaan itu mengagumi ketabahan petugas rakan media yang sanggup berkumpul di bawah panas terik demi mendapatkan berita terkini.
"Saya tabik dengan semangat kerja yang ditunjukkan rakan-rakan media yang komited serta tidak berganjak di kawasan tugasan.
"Jujurnya, bukan mudah apa yang mereka lalui demi amanah dan tugas yang digalas. Wajar kita menghargai mereka," katanya.
Sarah turut membawa bersama minuman Bubble Bee dan Stik Madu untuk diedarkan kepada rakan-rakan media, orang ramai dan anggota keselamatan.
Malah, Sarah teruja apabila berpeluang melihat sendiri ketibaan Perdana Menteri Interim Tun Dr. Mahathir Mohamad tiba memasuki Istana Negara.
Kata Sarah, bukan semua mampu melalui rutin yang dilakukan dan semua pihak wajar menghormati setiap pekerjaan yang dilakukan.
Siti Sarah juga meluangkan masa berbual dengan anggota keselamatan yang bertugas dan berkongsi minuman dan madu dengan mereka.
"Saya sendiri yang memang mahu turun dan lihat sendiri situasi yang dilalui oleh rakan media yang memang rakan-rakan saya sendiri.
"Bagi saya hari ini saya belajar sesuatu yang baharu dan saya mendoakan kita semua terus hidup aman dan damai sentiasa," katanya.
Dalam perkembangan lain, Sarah bakal melancarkan video klip single Dap Dap Dap dan satu kejutan lain.
"Ada sesuatu yang istimewa, saya akan kongsi nanti," katanya.
Sebanyak 200 cawan minuman Bubble Bee Black Pearl dan Diamond Pearl serta 300 stik madu diedarkan kepada rakan media dan anggota keselamatan.
Kisah kegigihan petugas media dan anggota keselamatan di luar Istana Negara mendapat perhatian ramai pihak yang datang memberikan sumbangan sejak Isnin lalu.