Laman Utama

Siti Sarah Bertemu Wakil Orang Asli Untuk Mohon Maaf

gempak
Fiza Kamarudin
08/09/2020
17:32 MYT
Sponsor Banner
Siti Sarah Bertemu Wakil Orang Asli Untuk Mohon Maaf
Penyanyi popular Siti Sarah mengambil keputusan bertemu wakil masyarakat Orang Asli untuk memohon maaf secara terbuka berhubung isu melibatkan dirinya dengan suku kaum tersebut baru-baru ini.
Sarah ketika ditemui Gempak berkata, dia bersyukur kerana komuniti tersebut sudi menerima permintaannya untuk bertemu.
“Saya dengan rendah hati ingin memohon maaf sekali lagi kepada masyarakat Orang Asli di Malaysia yang terguris dengan kata-kata saya.
“Saya bersyukur apabila kedatangan saya dialu-alukan dan disambut baik. Tak tergambar perasaan ini apabila mereke menerima permohonan maaf saya dengan hati terbuka.
“Tak tenang hati ini selagi tidak bersemuka dan memohon maaf. Apatah lagi keluarga saya sendiri sangat rapat dengan masyarakat Orang Asli.
“Tidak terlintas langsung di hati ini untuk menghina kerana saya sendiri memiliki adik angkat dari suku kaum ini, yang bernama Rainbow.
“Atuk dan nenek saya juga sangat rapat dengan mereka ini, jadi untuk apa saya menghina? Saya kesal gara-gara terlepas kata, ramai pihak terguris,” katanya sebak. Ditanya mengapa mendiamkan diri daripada Instagram, Sarah menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa dia cuba melarikan diri.
“Selama ini saya cukup-cukup menjaga kandungan media sosial saya. Saya berdiam bukan kerana mahu bersikap lempar batu sembunyi tangan, sebaliknya tidak mahu isu diperbesarkan.
“Saya mengakui insiden ini banyak mengajar saya dalam menjaga kata-kata, berhati-hati memilih kawan dan dengan siapa saya bercakap,” ujarnya.
Siti Sarah berkata demikian ketika ditemui di Batu 12 Gombak pada malam semalam (Selasa).
Dalam pada itu, Sarah mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah memberikan nasihat dan kata-kata positif buat dirinya.
“Saya ada menerima pesanan peribadi daripada seorang Tok Batin yang menasihati saya supaya memohon maaf secara terbuka (menerusi video) termasuk beberapa yang lain.
“Terima kasih kerana menegur saya. Saya harap permohonan maaf sekali ini dapat mengekalkan hubungan baik sesama kita seperti sebelum ini,” katanya.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live