Hiburan
Siti Sarah Idam Kongsi Pentas Bersama Misha Omar & Hazami
Penyanyi Siti Sarah mempunyai impian untuk berkongsi pentas bersama Misha Omar dan Hazami dalam satu persembahan.
"Misha dan Hazami merupakan rakan seangkatan saya dalam bidang nyanyian. Kami sama-sama masuk ke dalam industri seni pada tahun yang sama.
"Saya yakin pastinya ramai yang merindui pelbagai memori dan nostalgia semasa kami mula-mula menjejakkan kaki ke dalam bidang hiburan.
"Saya mengimpikan untuk membuat persembahan tersebut pada skala yang lebih besar, misalnya di Istana Budaya," kata Sarah kepada Astro Gempak.
Pemilik nama penuh Siti Sarah Raissuddin, 32, ini pernah menyatakan hasratnya kepada Misha dan Hazami.
"Saya pernah menyampaikan hasrat tersebut kepada mereka tetapi hanya sekadar perbualan santai sahaja.
"Saya tidak rasa perancangan tersebut akan terlaksana dalam masa terdekat kerana saya pun baru sahaja aktif semula dalam bidang nyanyian selepas tamatnya program GegarVaganza.
"Jika impian saya menjadi kenyataan, pastinya memori-memori manis di zaman kami mula menyanyi akan muncul semula dan mengimbau kenangan ramai peminat," katanya ketika ditemui usai persembahan Minggu Setiausaha di Menara KL sebentar tadi.
Majlis yang dihadiri lebih 500 orang tetamu itu turut dihiburkan dengan persembahan pelawak Shuib dan Rahim Sepahtu.
"Hampir tujuh tahun saya tidak membuat persembahan di Minggu Setiausaha, akhirnya saya kembali beraksi.
"Menara KL banyak memberi memori manis buat saya kerana saya sendiri bermula dengan menyertai pertandingan pencarian bakat kelolaan Menara KL," katanya lagi.
Teks oleh: Kamaruddin Razal