Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Siti Sarah Meninggal Dunia

Fiza Kamarudin
08/08/2021 21:55 MYT
Selepas empat hari bertarung nyawa, penyanyi kesayangan ramai Siti Sarah Raisuddin, 37, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 5.13 pagi tadi (Isnin).

Berita dukacita tersebut diumumkan pihak pengurusan Siti Sarah, Indigital Music menerusi panggilan telefon dan aplikasi Whatsapp.

“Assalamualaikum semua.

“Dengan berat hati dan berdukacita, kami ingin memaklumkan bahawasanya Siti Sarah Raissuddin telah pun meninggal dunia pukul 5.13 pagi di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM).

“Terima kasih kepada semua yang tidak putus-putus memberikan doa serta sokongan kepadanya sejak dimasukkan ke hospital beberapa hari yang lalu.

“Sebarang maklumat lanjut akan disalurkan dari semasa ke semasa. Al-Fatihah,” menurut Indigital.

Terdahulu, penyanyi lagu Semakin itu bertarung nyawa akibat COVID-19 di Unit Rawatan Rapi (ICU), HCTM.

Siti Sarah terpaksa ditidurkan dan melahirkan bayi lelaki, Ayash Affan melalui pembedahan tanpa sedar, jam 5 petang pada Jumaat lalu.

Bagaimanapun, paras oksigen jatuh sehingga 40 peratus pada malam Jumaat, kemudiannya meningkat 77 peratus pada jam 2 pagi, namun menunjukkan perkembangan positif meningkat sehingga 85 peratus, semalam.

Namun semalam, ketika majlis bacaan yasin secara maya menerusi aplikasi Zoom, suami Allahyarham, Shuib memaklumkan paras oksigen Siti Sarah jatuh sehingga paras 30 peratus.

Pada 27 Julai lalu, Siti Sarah mengesahkan dirinya dan keluarga positif COVID-19.

Selain Siti Sarah dan Shuib, tiga cahaya mata mereka, Uwais Alqarni, 10, Dzahira Talita Zahra, 8, dan Ariq Matin, 6, disahkan positif.

Bagaimanapun, Shuib bersama anak-anak disahkan negatif selepas melakukan kuarantin kendiri selama 14 hari.
#Siti Sarah #Meninggal Dunia #COVID-19
;