Laman Utama

SKMM Beri Amaran, Henti Sebar Video Tiga Beradik Maut Akibat Renjatan Elektrik

gempak
Mya Amri
20/12/2022
02:23 MYT
Sponsor Banner
SKMM Beri Amaran, Henti Sebar Video Tiga Beradik Maut Akibat Renjatan Elektrik
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya menghentikan penunalaran video tiga beradik yang maut dipercayai terkena renjatan elektrik di Tumpat, Kelantan pada Isnin.
Menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter rasmi, SKMM meminta orang ramai menghormati mangsa dan privasi keluarga mangsa selain memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap insiden tersebut.
“Pada masa sama, pihak suruhanjaya juga telah mengambil langkah proaktif mengangkat perkara ini untuk perhatian dan tindakan selanjutnya daripada penyedia platform seperti Meta, Twitter dan TikTok dalam usaha mengekang penularan video yang berkaitan.
“Orang awam digalakkan untuk sentiasa mengawal selia kendiri dan peka tentang kandungan yang mereka terima atau dikongsi secara dalam talian, sama ada melalui aplikasi Whatsapp ataupun rakaman video di media sosial,” jelas kenyataan tersebut.
Bagi menghentikan penularan video berkenaan, pihak SKMM juga menyarankan pengguna media sosial supaya membuat laporan secara terus terhadap kandungan yang sensitif dan tidak sesuai untuk tatapan umum kepada penyedia platform.
Terdahulu, media melaporkan tiga beradik maut dipercayai akibat terkena renjatan elektrik di luar rumah jiran mereka yang dilanda banjir.
Kejadian dipercayai berlaku semasa salah seorang daripada mereka memegang tiang pada garaj di sebuah rumah jiran mereka di Kampung Morak, Tumpat di Kelantan.
Penularan video itu kemudiannya menerima kecaman kerana mengundang rasa kurang senang netizen dan menyifatkan individu yang menyebarkan video tersebut tidak menghormati keluarga waris.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live