FILEM
Skrin Tiba-Tiba Gelap, Tayangan Gala Filem Qodrat 2 Di KLCC ‘Diganggu’ Ketika Babak Acha Septriasa Baca Doa Iftitah
Sesi tayangan malam gala filem seram Indonesia Qodrat 2 yang berlangsung di TGV KLCC, Kuala Lumpur semalam mengalami gangguan ketika filem sedang ditayangkan.
Insiden yang berlaku semasa babak penting dalam filem itu mengejutkan para penonton yang hadir, termasuk para pelakon, penerbit, serta wakil media dan jemputan khas.
Tayangan yang sepatutnya berjalan lancar terpaksa dihentikan seketika bagi membolehkan masalah teknikal diselesaikan oleh pihak pawagam.
Tayangan terganggu secara tiba-tiba apabila skrin menjadi gelap dan sistem audio terhenti selama beberapa minit.
Lebih mengejutkan, kejadian tidak diingini tersebut berlaku ketika babak Azizah lakonan Acha Septriasa sedang membaca doa Iftitah ketika dalam solat.
Kejadian tersebut menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan penonton, lebih-lebih lagi kerana filem Qodrat 2 sarat dengan elemen seram dan spiritual.
Gangguan itu dilihat oleh sesetengah pihak sebagai sesuatu yang “berkait” dengan tema filem itu sendiri.
Biarpun insiden tersebut berlaku, ia tidak menjejaskan keseluruhan acara dan filem berjaya ditayangkan hingga ke penghujung.
Di akhir tayangan, penonton turut memberikan tepukan gemuruh sebagai tanda sokongan terhadap karya tersebut.
Filem Qodrat 2 bukan sekadar filem seram biasa, tetapi menyentuh elemen spiritual yang sangat dekat dengan masyarakat kita.
Untuk info, filem Qodrat 2 terbitan MAGMA Entertainment dan Astro Shaw ini masih mengikuti perjalanan Ustaz Qodrat (Vino G. Bastian) selepas menyelamatkan Alif daripada cengkaman Asuala.
Kali ini, tumpuan beralih kepada usahanya mencari isterinya, Azizah (Acha Septriasa) yang mengalami kemurungan selepas hilang akidah.
Berbeza dengan Qodrat (2022) yang masih penuh misteri, filem kedua ini menyajikan kisah yang lebih mendalam dan perlahan-lahan menyingkap latar belakang keluarga Qodrat.
Dengan visi sedemikian, pengarah, Charles bijak memutuskan untuk mengubah sudut pandangan bercerita. Tumpuan kini beralih kepada Azizah, isterinya.
Saksikan Qodrat 2 yang kini ditayangkan di pawagam seluruh negara.