Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Skuad Bola Sepak Palestin Training Di Kuala Lumpur - "Malaysia Ibarat Rumah Pertama Kami"

Gempak
28/08/2024 09:25 MYT
Skuad bola sepak Palestin mengakui gembira dapat menjalani latihan serta mengharungi perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2026 Zon Asia menentang Jordan di Malaysia.

Anggap Sebagai Rumah Pertama

Pemain Palestin, Mohammed Rashid berkata, Malaysia juga dianggap umpama rumah buat pasukan tersebut selepas negara mereka diancam serangan tidak berperikemanusiaan oleh tentera rejim Zionis.

Beliau juga rasa terharu dengan sokongan dan bantuan yang diberikan Malaysia membolehkan pasukan itu menjalani latihan dan perlawanan di negara ini.

"Secara jujurnya saya melihat sokongan di Liga Malaysia. Saya lihat Selangor, Terengganu dan banyak kelab yang memberikan sokongan untuk Palestin.

"Saya tidak rasa Malaysia sebagai rumah kedua, tetapi umpama sebagai rumah pertama. Sekarang ini, sukar untuk bermain di Palestin.

"Untuk kami (berlatih dan bermain) berada di sini akan memberikan banyak kebaikan dan berharap terus mendapat sokongan dan rasa sayang daripada semua rakyat Malaysia," katanya.

Skuad kendalian Makram Daboub ketika ini sedang menjalani latihan di Kuala Lumpur selama lima hari sebelum terbang ke Seoul bagi perlawanan pertama menentang Republik Korea di Stadium Piala Dunia Seoul pada Khamis.

Mereka kemudian akan terbang kembali ke Kuala Lumpur bagi menghadapi perlawanan kedua menentang Jordan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 10 September.

Terdahulu, Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) telah memilih Malaysia sebagai venue untuk gelanggang sendiri mereka bagi perlawanan bertemu Jordan itu.

Sumber: Sinar Harian

#Malaysia #Bola Sepak #Palestin #Piala Dunia 2026 #Rumah pertama
;