Usahawan terkenal Datuk SM Faisal SM Nasimuddin Kamal memfailkan saman terhadap penyanyi rap Caprice berhubung hantaran berbaur fitnah yang dibuat selebiriti itu dalam laman sosial Instagramnya mengenai kes Emilia Hanafi.

SM Faisal, 43, selaku plaintif memfailkan saman itu di Mahkamah Sesyen di sini menerusi Tetuan Akberdin & Co pada 15 Ogos lalu dengan menamakan Caprice atau nama sebenarnya Ariz Ramli, 36, sebagai defendan.

Berdasarkan dokumen yang diperoleh, SM Faisal berkata pada 27 Jun 2022 Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur telah memerintahkan Emilia Hanafi, 43, yang juga bekas isterinya itu menjalani penjara selama tujuh hari selepas didapati gagal mematuhi perintah komital mahkamah.

Plaintif mendakwa insiden tersebut kemudian telah dimanipulasikan oleh pihak-pihak tertentu dengan niat mala fide (niat jahat) tanpa sebarang rujukan atau klarifikasi daripada pihak plaintif.

Kata plaintif, sehari selepas itu defendan dengan niat sama kemudian turut mengherdik, mencemuh dan memburukkan plaintif atau Mahkamah Syariah dengan memuat naik video atau hantaran melalui media sosial Instagramnya pada 28 Jun 2022.

“Posting (hantaran) tersebut telah mendapat publisiti meluas, kerana defendan mempunyai lebih kurang 1.5 juta pengikut di laman Instagramnya. Bahkan sehingga tarikh pemfailan tindakan (saman) ini di mahkamah, posting fitnah tersebut telah dilihat atau di ‘like’ kira-kira 14,500 orang,” kata plaintif.

Ujar plaintif berikutan tindakan defendan itu telah menyebabkannya berasa tertekan dari segi emosi selain dengan cemuhan dan gangguan daripada pihak-pihak yang ada kaitan atau menyokong kempen untuk menjatuhkan plaintif.

Dalam pada itu, plaintif turut mendakwa hubungannya dan keluarga serta fokus kerjayanya juga terkesan dan terganggu.

Plaintif menyatakan hantaran fitnah yang dimuatnaik oleh defendan secara tersurat dan tersirat memberi maksud bahawa plaintif adalah seorang lelaki yang kejam, disamakan dengan orang Yahudi serta ayah zalim atau jahat kepada anak-anaknya.

Pernyataan saman itu turut menyebut hantaran fitnah itu telah mengakibatkan plaintif mengalami keaiban, penghinaan, cemuhan, tohmahan, cacian, ejekan atau kebencian di kalangan masyarakat umum.

Berikutan itu plaintif melalui peguamnya telah menghantar satu surat tuntutan bertarikh 7 Julai 2022 berkenaan hantaran fitnah tersebut yang mana antara lain menuntut penarikan balik, permohonan maaf namun defendan gagal menenuhi tuntutan plaintif.

Justeru plaintif memohon suatu perintah injunksi mandatori terhadap defendan untuk mengeluarkan atau memadamkan hantaran fitnah tersebut yang diterbitkan, dimuat naik, disebarkan atau disiarkan yang mengandungi kenyataan- kenyataan fitnah terhadap plaintif.

Selain itu, plaintif turut menuntut suatu injunksi kekal menghalang defendan sama ada oleh dirinya sendiri, sekutunya, agennya atau sesiapa sahaja daripada memuat naik, menyebarkan, menyiarkan,menerbitkan, mengedarkan atau menghebahkan dengan apa cara sekalipun.

“Suatu permohonan maaf awam yang tanpa ragu (unequivocal) daripada defendan kepada plaintif dimuat naik, disiarkan , diterbitkan , diedarkan dan dihebahkan pada laman-laman media sosial termasuk tetapi tidak terhad kepada Instagram atau Facebook milik defendan,” kata SM Faisal.

Selain itu antara yang dituntut ialah kos, ganti rugi am, ganti rugi punitif (punitive damages), ganti rugi teladan (exemplary damages), ganti rugi teruk (aggravated damages) dan lain-lain relief yang dianggap wajar oleh mahkamah.

Sementara itu, peguam yang mewakili SM Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader ketika dihubungi mengesahkan pemfailan saman itu terhadap Caprice.

“Tarikh pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 14 Oktober ini,” kata peguam itu selepas pengurusan kes saman itu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Sivil Idah Ismail.



Sumber: Kosmo Online!