Laman Utama
SMK Kembali Dengan Musim Kedua! Tampilkan Elly Mazlein & Sean Lee
Selepas mengungguli kategori ‘Best Quarantine- Themed Drama/Feature/Programme’ di Anugerah ContentAsia 2020 yang berlangsung pada Ogos lalu, jenama SMK di bawah naungan Astro Ceria kini kembali dengan drama bersiri untuk musim yang kedua.
SMK, sebuah siri komedi generasi millennial menampilkan bakat-bakat muda popular seperti Wafiy Aan, Mia Sara Nasuha, Rykarl Iskandar, Arena Wan, Erissa Puteri, Fikry Kiki dan ramai lagi.
Tambah menarik, rantaian siri kali ini turut menampilkan pelakon sensasi tanah air, Elly Mazlein atau lebih dikenali dengan gelaran Kak Lina Pom Pom bersama pengacara dan pelakon lelaki yang kian meningkat naik, Sean Lee.
Elly akan menyandang watak sebagai seorang guru disiplin, Cikgu Aini, manakala Sean Lee sebagai pelajar senior di sekolah tersebut bernama Zul.
SMK Musim 2 bakal menemui peminat pada setiap hari Rabu mulai 7 Oktober ini, 9.00 malam di Astro Ceria (CH631) dan Ceria HD (CH611).
Musim terbaharu ini juga boleh distrim melalui aplikasi Astro GO dan kemudahan on demand. Peminat SMK juga boleh menyertai ‘maraton SMK’ pada 7 Oktober, mulai 5 petang di saluran Astro Ceria. Peminat boleh menghantarkan komen di Instagram rasmi SMK (@smk.kita) dengan tanda pagar #SMKMusim2, di mana komen-komen mereka mungkin akan disiarkan secara langsung di saluran Astro Ceria.
Musim terbaharu SMK yang mengambil masa selama 27 hari penggambaran di sekitar Kuala Lumpur ini juga mempunyai laman sesawang rasmi yang mana dijadikan platform alternatif untuk penonton khususnya golongan kanak-kanak dan remaja mendapatkan kandungan eksklusif dari jenama SMK termasuklah video selingan, permainan atas talian dan juga kuiz personaliti yang menarik.
Di laman sesawang itu juga terdapat segmen ‘Suara Murid Kita’ di mana anak-anak boleh mendapatkan maklumat untuk berhubung dengan perkhidmatan dan program psikologi atau kaunseling.
Menurut Pengurus Saluran Astro Ceria, Cecillia Wong, Astro Ceria sentiasa untuk menyajikan kandungan terbaik untuk tontonan seisi keluarga.
“Sebagai peneraju utama kandungan hiburan kanak-kanak di Malaysia, Astro Ceria sentiasa berusaha untuk menyajikan kandungan terbaik bagi santapan seisi keluarga.
"Penghasilan musim kedua siri komedi SMK ini merupakan sebahagian daripada strategi keseluruhan kami untuk mengekalkan kedudukan Astro Ceria sebagai sebuah saluran yang menyediakan kandungan yang selamat, sihat, dan santun, sesuai untuk semua lapisan masyarakat terutamanya kanak-kanak.
"Ternyata, kemenangan telefilem ‘SMK: Raya Dekat Jauh’ di Anugerah ContentAsia baru- baru ini membakar semangat kami untuk mengukuhkan lagi kualiti penerbitan kami," katanya.
Must-Watch Video