Kerap menerima pertanyaan soal zuriat, pelakon Zulin Aziz mengakui sedikit sebanyak soalan itu menggores hatinya biarpun rumah tangga baharu saja nak mencecah usia setahun.

Menganggap belum ada rezeki, Zulin bagaimanapun berharap netizen tidak perlu bertanyakan soalan itu sebaliknya lebih baik mendoakan dirinya agar dikurniakan cahaya mata.

“Saya baru setahun… orang lain bertahun cuba dapatkan anak sampai dah lali dengan pertanyaan orang. Mungkin saya yang masih baru ni, terasa hati tu ada la.

“Tapi lama kelamaan, bila dah orang hari-hari tanya, kita dah macam tak apa la abaikan saja. Dari kita anggap negatif, terus berubah jadi positif dan mohon mereka doakan.

“Kita pun bukan tak nak anak atau rancang nak anak dua tiga tahun lagi. Kami memang kalau boleh nak anak terus tapi tak ada rezeki lagi.

“Saya berharap sangat netizen yang bijaksana di luar sana, daripada tanya saya bila nak dapat anak, why not tadah tangan sekejap saja doakan untuk saya,” katanya kepada Gempak.

Zulin ditemui ketika turut menghadiri persembahan penyanyi Ziana Zain yang diadakan di atas kapal mewah Genting Dream anjuran Resort World Cruises baru-baru ini.

Berkongsi mengenai keguguran yang dialami pada Ogos tahun lalu, Zulin berkata ketika itu dia mengalami sakit perut namun tidak mengetahui dirinya sedang hamil.

“Ikutkan kehamilan saya itu tak sampai sebulan lagi… betul-betul baru saja. Waktu itu, saya tak tahu yang saya dah hamil tapi tiba-tiba rasa sakit perut memulas.

“Selepas itu, period saya datang lambat tapi dah tak ada rezeki. Mungkin kebetulan ketika itu, saya bergerak lasak sebab baru saja pindah rumah,” ujarnya.

Untuk rekod, Zulin mendirikan rumah tangga dengan rakan kongsi perniagaannya, Farhan Norzaini dengan sekali lafaz pada 20 Februari tahun lalu.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.