"Sofea Terpaksa Balik Seorang Diri Naik Flight" - Fitri Haris Lepaskan Anak Bawah Umur Ke Singapura Sendiri

ZULHILMI JALIL
Mac 20, 2020 09:21 MYT
Penyanyi Fitri Haris terpaksa akur melepaskan anak perempuannya, Sofea Solehah yang masih lagi di bawah umur untuk pulang ke Singapura seorang diri menaiki kapal terbang.
Menurut Fitri, 36, keputusan itu dibuat selepas segala usaha mencari jalan bagi menghantar anaknya yang berusia 16 tahun itu pulang ke negara jiran menemui jalan buntu susulan Perintah Kawalan Pergerakan.
"Anak saya warganegara Singapura, di saat Perintah Kawalan Pergerakan dilakukan, kami berada di Universiti Utara Malaysia, Kedah. Apabila saya hendak menghantar Sofea pulang, semua jalan darat, imigresen tutup tak boleh masuk Singapura.
"Saya cuba menghubungi semua kenalan pihak berkuasa, tiada satu jalan pun selain melalui penerbangan. Cuma, yang membuat saya sedih adalah saya tidak boleh menemaninya.
"Ke sana sini saya cuba selesaikan, akhirnya terpaksa akur dan dalam keadaan tidak boleh terima, Sofea terpaksa balik seorang naik kapal terbang. Masih bawah umur dan tak pernah saya membiarkan Sofea sendiri," kongsinya menerusi satu posting di Instagram miliknya.
Walaupun bimbang dengan keselamatan anak perempuannya itu, kata Fitri dia lega apabila pihak syarikat penerbangan menawarkan bantuan mengiringi anaknya ke dalam pesawat.
"Cuma melegakan hati saya sedikit apabila @malaysiaairlines ada menawarkan khidmat pembantu, bawa Sofea sampai ke tempat duduk dan bila sampai ada pembantu bawa sampai ke mama Sofea, syukur sangat-sangat," ceritanya.
Terdahulu, kerajaan menyekat perjalanan keluar rakyat Malaysia ekoran Perintah Kawalan Pergerakan sejak 18 Mac hingga 31 Mac ini bagi membendung penularan wabak COVID-19.
Sofea merupakan cahaya mata hasil daripada perkahwinan terdahulu yang mana bekas isterinya itu kini menetap di Singapura.
Bagaimanapun, pada Disember lalu, bekas anggota UNIC itu menamatkan zaman dudanya dengan pengurus sendiri, Fazilah Omar.
#Fitri Haris #COVID-19 #Perintah Kawalan Pergerakan