HIBURAN

Sofyank Syukur Dapat Jumpa Jackie Chan Di Beijing, Impikan Kolaborasi Suatu Hari Nanti - “Bertentang Mata & Berbual Pun Dah Cukup”

Umirah Halim 08/08/2025 | 06:55 MYT
Pempengaruh media sosial dan pakar kandungan visual, Sofyank meluahkan rasa syukur apabila berpeluang bertemu pelakon legenda Hong Kong, Datuk Jackie Chan di Beijing baru-baru ini.

Sofyank atau nama sebenarnya Muhammad Sofian Abdullah, 29, berkongsi keterujaannya itu menerusi satu hantaran di media sosial.

“Alhamdulillah, waktu di Beijing kami berpeluang untuk bertemu dengan aktor legenda dunia, Jackie Chan.

“Plan asal kami memang nak rakam video VFX bersama beliau. Tapi disebabkan kesuntukan masa, pelan itu tak kesampaian.

“Tapi tak mengapa, dapat bertentang mata dan berbual seketika dengan ikon yang telah mewarnai zaman kanak-kanak kita semua, sudah cukup memadai,” katanya.

Difahamkan, pertemuan itu berlangsung sempena pelancaran filem The Shadow’s Edge yang menghimpunkan ramai selebriti terkenal dari seluruh Asia.

Sofyank dalam pada itu berharap peluang untuk berkolaborasi dengan Jackie Chan dalam penghasilan kandungan akan terbuka suatu hari nanti.

“Insya-Allah, kalau diberi peluang satu hari nanti, kami mahu hasilkan konten untuk tayangan di layar perak pula. Doakan ya,” ujarnya.

Terdahulu, nama Sofyank pernah menjadi perhatian antarabangsa apabila berpeluang merakam video kesan khas bersama bintang Hollywood, Tom Cruise di Tokyo, Jepun bagi mempromosikan filem Mission: Impossible – Dead Reckoning Part One

#Jackie Chan #Sofyank