Soll Ahmadd Seorang Guru, Menyanyi Kerana Anzalna Nasir

Mya Amri
November 26, 2018 06:33 MYT
Soll Ahmadd, pendatang baru dalam bidang seni suara akhirnya menunaikan impian bergelar penyanyi kerana aktres cantik Anzalna Nasir.
“Sebelum ini, saya pernah menjadi pembantu peribadi Anzalna dan masih membantu dia sehingga kini.
“Saya beritahu Anzalna yang saya nak jadi penyanyi dan dah ada single pertama, walaupun masa tu saya rasa ragu-ragu nak cakap pada dia.
“Saya terkejut Anzalna teruja nak dengar single saya itu dan dia beri komen positif. Itu buat saya lebih bersemangat,” katanya.
Soll atau nama sebenarnya Ahmad Solehin Mohamed Nor, 26, yang juga seorang guru memberitahu Astro Gempak, mahu mengorak langkah sebagai penyanyi berjaya.
“Rasanya tidak salah jika mempunyai dua kerjaya asalkan tahu membahagikan masa sebaik-baiknya.
“Lagi pula menerusi percubaan pertama inilah peluang saya untuk meneroka dan melihat potensi diri dalam bidang muzik,” katanya.
Mungkin kelebihan buat pendatang baru ini kerana sudah memahami selok-belok dunia hiburan.
Soll pernah menjadi pembantu peribadi kepada pelakon cantik Anzalna (7 tahun) dan Marsha Milan (2 tahun).
“Hampir 10 tahun saya menimba pengalaman menjaga dua artis dan sebab itulah saya berani mengambil risiko untuk menghasilkan single Watak Kasih.
“Kalau kita tak cuba, tak tahu,” katanya yang lebih selesa bergerak di bawah labelnya sendiri, Soul Networks.
Watak Kasih ciptaan komposer Farouk Lokman dan liriknya ditulis Amylea Azizan.
“Alhamdulillah selepas setahun disiapkan, akhirnya lagu ini diperkenalkan kepada semua di luar sana.
“Muzik video Watak Kasih masih dalam proses suntingan dan akan menemui peminat tidak lama lagi,” katanya teruja.
Foto: Instagram @soll_ahmadd
#Anzalna Nasir #Soll Ahmadd