HIBURAN

Soma Sedia Sertai Gegar Vaganza, Berani Ambil Cabaran Cuba Genre Lain - “Kenapa Tidak Untuk Saya…”

Asyraf Roslan 20/03/2025 | 00:55 MYT

Penyanyi, Soma akui tidak teragak-agak untuk menerima tawaran menyertai program hiburan pilihan penonton, Gegar Vaganza (GV) jika diberi peluang.

Menurut Soma atau Rosmah S. Sengari Basar, dia sudah bersedia untuk bersaing dan menjadi sebahagian daripada keluarga besar GV.
“Kalau GV bolehlah kot, lain-lain tak nak (berseloroh), sebab saya rasa GV itu seusia.
“Kalau diberi ruang dan peluang saya bersedia, kenapa tidak untuk saya cuba, jadi saya kena berani,”katanya kepada Gempak.
Pada masa sama, naib juara Bintang Nostalgia Klasik Nasional 2009 juga berkata dia terbuka untuk mencuba pelbagai genre muzik semasa bertanding.

Kata pelantun lagu Perjalanan itu, meskipun dia bermula dengan muzik klasik, genre seperti dangdut, rock mahupun R&B tetap dekat dengan jiwanya.
“Saya boleh cuba sebab saya suka semua genre muzik meskipun saya bermula dengan bintang nostalgia klasik tapi saya tetap suka dangdut, rock atau R&B.
“Jiwa muzik itu boleh masuk dengan saya,” tambahnya.
Sekadar info, Soma pernah muncul dengan album solo iaitu Perjalanan yang memuatkan lima buah lagu Memori Bulan Disember, Bebaskan Aku, Curahan, Dugaan dan Perjalanan pada tahun lepas.
Selain itu, Soma juga baharu sahaja muncul dengan single Raya pertama yang berjudul Aku Tetap Raya.