Pelakon terkenal Korea, Song Hye Kyo mendedahkan personaliti berbeza merupakan punca penceraiannya dengan aktor Song Joong Ki.

Hye Kyo mendedahkan perkara itu menerusi wakil agensinya, United Artist Agency (UAA) dalam satu kenyataan media hari ini.

“Kami mohon maaf dengan berita kurang manis ini… Selepas membuat pertimbangan akhirnya aktres kami, Song Hye Kyo dan suaminya mengambil keputusan untuk bercerai.

“Punca penceraian mereka adalah disebabkan perbezaan personaliti. Oleh kerana mereka tidak mampu untuk mengatasi perkara itu maka pasangan ini terpaksa membuat keputusan untuk bercerai.

“Kami berharap anda faham bahawa pihak kami tidak dapat memberikan komen lanjut mengenai pasangan berkenaan kerana menghormati kehidupan peribadi mereka.

“Kami juga berharap supaya anda tidak meninggalkan sebarang komen provokatif atau spekulasi mengenai perkara itu,” jelas wakilnya.

Terdahulu, Song Joong Ki telah memfailkan penceraian terhadap Song Hye Kyo hari ini dan berita itu ternyata mengejutkan peminat mereka di seluruh dunia.

Pasangan yang dikenali sebagai Song Song Couple ini telah berkahwin pada 31 Oktober 2017.

Sumber: Soompi