Penyanyi Datuk Hattan, memohon maaf selepas tidak dapat menghabiskan lagu 5 Oktober yang dinyanyikan ketika majlis pelancaran single terbaru tersebut baru-baru ini.

Hattan berkata, dia tidak dapat meneruskan nyanyian kerana terbayangkan wajah Allahyarham Mohd Adam, anak kepada penulis lirik dan pelakon Bob Lokman.

“Ini bukan kali pertama saya menangis ketika menyanyikan lagu 5 Oktober. Ketika merakamkan lagu ini di studio pun…beberapa kali saya keluar masuk studio.

“Saya terlalu sebak dan sayu. Arwah membesar di depan mata saya. Malah, setiap kali menyanyikan lagu ini saya akan teringat wajah Adam yang saya lihat buat kali terakhir sebelum dia dikebumikan,” katanya sebak.

Tambah Hattan lagi, lagu 5 Oktober dicipta Nazri Osman atau Jebon dan lirik ditulis Bob Lokman yang mengisahkan tentang luahan hati penulis lirik itu selepas kehilangan Mohd Adam.

“Adam anak yang baik. Arwah sangat taat kepada orang tuanya. Allahu Akbar, rezeki Bob Lokman ada anak sebaik Adam.

“Jasa dan pengorbanan arwah Adam sangat dihargai oleh sahabat-sahabat yang mengenalinya. Semoga arwah Adam ditempatkan di kalangan orang-orang yang beriman,” katanya sayu.

Hattan ditemui pada majlis pelancaran single terbaru dank lip video 5 Oktober di pejabat syarikat rakaman Warner Music baru-baru ini.

Klip video 5 Oktober telah ditayangkan di semua platform digital bermula jam 8 malam, Jumaat lalu.
Sebelum mengakhiri perbualan Hattan sempat memberitahu penggambaran klip video dilakukan di lokasi yang sering dikunjungi arwah Mohd Adam.

“Adam meninggal secara mengejut selepas dia tiba-tiba pengsan. Arwah memang ada tumor otak sejak kecil dan dia sembuh selepas itu.

“Tetapi tidak sangka penyakit itu kembali,” katanya.

4 Oktober lalu, genap setahun arwah Mohd Adam pergi meninggalkan kita semua.

Foto: Maestro Media My