Selepas berkongsi kisah renovasi mangkuk tandas tambahan dalam bilik air kediamannya, penyanyi Hollywood, Meghan Trainor mendapat pelbagai reaksi jelik dari netizen.

Ramai yang rasa geli dengan tabiat membuang air bersama-sama dengan suaminya, Daryl Sabara seperti yang didedahkan pada awal minggu ini.

Bagaimanapun, menerusi ciapan di Twitternya pada Khamis, Trainor, 27, memberitahu dia hanya pernah hanya sekali membuang air besar bersama-sama dengan suaminya.

"Untuk menjelaskan situasi sebenar, kami pernah membuang air besar sekali sahaja bersama-sama dan kami tertawa. Selepas itu tidak ada lagi.

"Cumanya, dia (suami) akan melepak bersama saya ketika saya membuang air besar kerana kami 'soulmates'.

"Saya akan merinduinya apabila berjauhan dengannya. Sudah tentu kami membuang air kecil bersama-sama," kongsinya.

Penyanyi lagu All About That Bass itu tampil bersuara selepas mendedahkan proses renovasi tandas di kediaman mereka yang meletakkan dua mangkuk tandas bersebelahan untuk memudahkan mereka membuang air bersama-sama.

Kisah itu dikongsikan Trainor dalam salah satu episod podcast Nicole Byer, Why Won't You Date Me?.

"Kami baru membeli rumah dan melakukan proses pengubahsuaian. Tiada sesiapa pun tahu akan perkara ini, dalam bilik mandi kami hanya ada satu tandas.

"Kebanyakan masa pada waktu malam terutamanya apabila kami bersama dengan anak kami, kami perlu membuang air kecil pada masa sama. Jadi, saya terfikir bolehkah ada dua tandas dalam satu bilik mandi?" ujarnya.

Walaupun kontraktornya tertawa pada mulanya mendengarkan permintaan pelik Trainor, dia akhirnya menurut kehendak penyanyi itu.

Trainor dan Sabara berkahwin pada 2018 dan dikurniakan cahaya mata sulung, Riley, pada Februari lalu.