Sutradara popular, Syafiq Yusof menafikan andaian yang drama bersiri terbaharu arahannya, Special Force: Anarchy diinspirasikan daripada mana-mana siri popular antarabangsa lain.

Syafiq ketika ditemui pada majlis tayangan perdana siri berkenaan di Hotel EQ, Kuala Lumpur baru-baru ini, siri berkenaan diadaptasi daripada filem arahannya yang terdahulu, KL Special Force.

“Tak dinafikan, kalau buat drama atau siri yang bertemakan rompakan, pasti orang samakan atau bandingkan dengan Money Heist.

“Tetapi, siri ini tak tiru mana-mana karya antarabangsa. Ia merupakan siri yang tidak ada kena mengena dengan universe KL Special Force, tetapi inspirasinya masih pada filem yang sama,” katanya kepada Gempak.

Ditanya mengenai pemilihan Puteri Aishah sebagai pelakon utama, Syafiq berkata, sengaja dia berbuat demikian demi mendapatkan kelainan.

“Sesuai dengan perspektif baharu, saya ketengahkan watak polis wanita sebagai watak utama.

“Disebabkan diinspirasi daripada KL Special Force, corak penceritaan juga lebih kurang sama, tetapi watak utama dan plotnya sahaja yang saya ubah,” katanya lagi.



Siri Original Disney+ Hotstar tujuh episod ini mengikuti perjalanan Iman (Puteri Aishah), seorang pegawai polis muda yang berani dari sebuah negara fiksyen, Tenggara dalam menyiasat sebuah kes rompakan bank terancang.

Siasatan yang dilakukan Iman telah mempertemukannya dengan satu kumpulan jenayah berbahaya dan membuka satu lembaran rahsia besar yang mampu mengubah segalanya.

Special Force: Anarchy turut dibintangi oleh penyanyi, komposer dan artis legenda Datuk M. Nasir sebagai Umar, yang merupakan dalang di sebalik rompakan Bank Tenggara serta ketua kumpulan Anarki.

Drama bersiri ini turut membariskan bintang-bintang tersohor seperti Hasnul Rahmat, Alvin Wong, Johan As'ari, Fify Azmi, Chacha Maembong, Yusuf Bahrain, Anas Ridzuan, Elizabeth Tan, Dynas Mokhtar dan Steve Yap.

Special Force: Anarchy diarahkan oleh Syafiq Yusof iaitu pemenang anugerah Pengarah Harapan Terbaik pada Festival Filem Malaysia 2012 serta anugerah Pengarah Filem Terbaik pada 2017 oleh PROFIMA (Pekerja Filem Profesional Malaysia), di bawah terbitan Skop Productions.

Special Force: Anarchy sudah boleh mula distrim secara eksklusif di Disney+ Hotstar mulai 14 Januari lalu.

Undi bintang digital dan content kegemaran Top 5 anda di Gempak Most Wanted Awards 2022 di sini.