BERITA
SPRM Rekod Keterangan Jovian Mandagie Di Jakarta Minggu Depan
Bekas menantu Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu Datuk Jovian Mandagie akan dirakam keterangan di Indonesia, minggu depan.
Sumber berkata, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkemungkinan akan berada di negara jiran itu selama dua hari bagi mengambil keterangannya.
"SPRM sudah membuat temu janji termasuk lokasi proses mengambil keterangan pereka fesyen berusia 39 tahun itu akan dibuat.
"Pegawai penyiasat akan terbang ke Jakarta minggu depan dan berada di sana selama dua hari untuk bertemunya," katanya.
Keterangan Jovian diambil di Jakarta kerana bekas suami Nina Sabrina dilaporkan sudah kembali menetap di negara berkenaan.
Beliau yang pernah berkahwin dengan anak sulung Ismail Sabri kembali ke Jakarta selepas mengumumkan penutupan operasi fesyennya pada tahun lalu.
Media sebelum ini melaporkan SPRM belum merakam kenyataan Jovian, susulan siasatan terhadap pemilikan aset membabitkan bekas Perdana Menteri itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki sebelum ini mengesahkan pihaknya akan merakam keterangan Jovian.
Ismail Sabri sebelum ini beberapa kali hadir di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya berhubung siasatan mengenai kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Ia membabitkan perbelanjaan dan perolehan dana untuk promosi serta publisiti program Keluarga Malaysia semasa tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri dari Ogos 2021 hingga November 2022.
Azam dilapor berkata, siasatan dibuat susulan arahan supaya Ismail Sabri membuat pengisytiharan harta mengikut Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009.
Bekas Perdana Menteri itu sudah membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu dan SPRM sedang menganalisis sumber perolehan aset berkenaan.
Sumber: Harian Metro
Must-Watch Video