Skip to main content

Berita Tempatan

SSX: "Saya Bersyukur Dapat Bertahan Sampai Minggu Ke-4, Tapi... " - Zara Zya

zzya1_1.jpg
Pelakon Zara Zya bersyukur kerana dapat bertahan sehingga minggu ke-4 dalam program Super Spontan Xtravaganza (SSX).

Biarpun perjalanan Zara dalam SSX terhenti, bintang drama bersiri Tuan Anas Mikael belajar banyak perkara baru sepanjang program ini berlangsung.

"Sejujurnya, saya gembira apabila dipilih untuk menyertai program ini. Sebagai anak seni, SSX memberi satu dimensi baru dan saya belajar banyak perkara.

"Alhamdulillah, saya rasa bersyukur kerana dapat bertahan sampai minggu keempat, tapi bukan rezeki saya untuk terus bertanding dalam SSX. Saya harap semua peminat meneruskan sokongan kepada SSX," kata Zara optimis.

Tambah Zara, program ini juga membantunya mengatasi rasa gemuruh.

"Bayangkan, sebelum ini saya hanya berlakon di hadapan kamera. Sudah tentu saya gugup dan gementar mahu beraksi atas pentas dengan pelawak lain.

"Menerusi SSX juga, saya belajar untuk berinteraksi dengan penonton dan perasaan gugup itu berjaya dikurangkan," katanya lagi.

Minggu keempat SSX menyaksikan Zara dan Anas Ridzuan dari kumpulan Lobster Leleh telah disingkirkan.

SSX bersiaran secara langsung dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada setiap Jumaat, jam 10 malam di Astro Warna (saluran 132) dan Warna HD (saluran 124).

Bertemakan 'tukang masak', SSX membentuk dua kumpulan iaitu Sotong Kangkung yang membawa imej 'tukang masak jalanan' dan kumpulan Lobster Leleh mencerminkan imej 'tukang masak di hotel'.

Buat julung kalinya juga program ini bakal menyaksikan pertukaran sistem pemarkahan iaitu 50 peratus daripada barisan juri dan 50 peratus lagi dari undian penonton.

Setiap kumpulan akan dikritik dan dinilai oleh dua juri tetap iaitu Datuk Afdlin Shauki dan Adibah Noor serta bersama lagi seorang juri tempatan.

SSX turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan 'on demand'.

Teks: Kamaruddin Razal

Advertisement

Topik Berkaitan

Must-Watch Video