Sejak kebelakangan ini, isu mengenai golongan selebriti yang enggan mengambil suntikan vaksin COVID-19 hangat diperkatakan umum.

Pelbagai pendapat dan pandangan diberikan oleh netizen, terutama apabila golongan ini begitu lantang bersuara dalam mempertahankan pendirian masing-masing di media sosial.

Bagi penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, pengambilan vaksin disifatkan sebagai ikhtiar untuk memastikan keadaan kesihatan keluarga serta anak-anaknya terjamin pada masa akan datang.

Menurut penyanyi Siapa Tak Mahu itu, pengambilan vaksin juga dapat memberikan kelegaan kepada dirinyanya untuk terus aktif bekerja memandangkan rutin hariannya yang terpaksa berjumpa dengan orang ramai.

“Saya ambil vaksin sebab nak lindungi anak-anak saya (daripada jangkitan). Begitu juga dengan orang yang bekerja dengan saya. Tidak bermakna mereka yang enggan mengambil vaksin itu tidak sihat. Mereka ada cara mereka tersendiri.

“Masing-masing mempunyai hak terhadap proses pemvaksinan. Namun, saya hanya mahu berasa lega untuk meneruskan kerja-kerja saya dalam bidang seni,” katanya ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Dan Sidang Media Simplysiti yang diadakan di Menara Kuala Lumpur semalam.

Begitupun, tambah Siti, beliau tidak akan bertanya kepada individu yang ditemui sama ada mereka telah menerima vaksin atau belum.

“Apabila sudah mula bekerja, saya tidaklah bertanya adakah seseorang itu sudah vaksin atau belum. Saya percaya, mana-mana produksi atau stesen televisyen sudah pun mempunyai garis panduan sebelum mengelolakan sebarang program.

“Saya juga yakin, stesen televisyen juga sangat menitik beratkan tentang prosuder operasi standard (SOP) dan setiap artis harus mengikuti SOP yang telah ditetapkan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Siti berkata, semua pekerjanya, baik di rumah mahupun di pejabat sudah selamat menerima vaksin.

Staff rumah dan staff office semua saya hantar untuk dapatkan suntikan vaksin. Sebenarnya, kita mahukan yang terbaik dan selebihnya kita berserah kepada Allah SWT.

“Kalau dah ditakdirkan dijangkiti walaupun sudah menerima vaksin, itu merupakan ketentuan-Nya dan kita harus reda seadanya,” ujar Siti menutup bicara.

Dalam perkembangan lain, Siti sedang sibuk memilih material baharu untuk single comeback yang bakal diterbitkan tidak lama lagi. Selain itu, Siti turut merancang untuk mengadakan konsert jika keadaan mengizinkan.

***Untuk kemaskini berita terkini, cepat & mudah, langgan saluran Telegram Gempak!
Dah mengundi artis kegemaran korang di AME 2021? Klik banner di bawah untuk mengundi!