HIBURAN

Status Konsert Jadi Tanda Tanya, Mawi Pilih Untuk Diam Diri - “Saya Tak Berani Nak…”

Asyraf Roslan 20/06/2025 | 08:25 MYT

Penyanyi dan penyampai radio, Mawi enggan mengulas lanjut mengenai status terkini penganjuran Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang sebelum ini dijadualkan berlangsung pada Januari lalu namun ditunda kepada Julai.

Menurut Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, dia menyerahkan sepenuhnya kepada pihak penganjur, Showtag Asia untuk memberikan sebarang kenyataan rasmi status penganjuran konsert tersebut.

“Saya tak boleh nak cakap apa-apa mengenai konsert itu, pihak penganjur yang perlu bagi kenyataan.Kalau ikut pada awalnya ianya ditunda ke Julai namun buat masa sekarang tiada apa-apa berita. Saya tak berani nak cakap apa-apa,” katanya.
Dalam pada itu, Mawi tidak ambil hati sekiranya terdapat spekulasi yang mendakwa penundaan konsert berkenaan berpunca daripada jualan tiket yang kurang memberangsangkan.
Sebaliknya, pelantun lagu Kian itu memilih untuk menerima segala ketentuan dengan hati terbuka.
“Bagi saya tidak mengapa sebab kita merancang dan bukan semua apa yang kita rancang akan jadi sempurna. Ini adalah perkara biasa, dalam hidup kita kalau kita rancang tak jadi nak buat macam mana.
“Saya tidak bersedih dan kita ikut sahaja takdir ini, saya tiada masalah dengan pihak penganjur. Kali terakhir beberapa bulan lepas saya bercakap dengan mereka, saya terima sahaja takdir ini. Saya tak kisah apa orang nak cakap, terpulang kepada mereka,” ujarnya.
Terdahulu, Mawi memaklumkan bakal menganjurkan Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur sempena dua dekad pembabitannya dalam bidang seni.

Mawi dijangka menyampaikan lebih 20 buah lagu termasuk lagu yang pernah dinyanyikannya ketika menyertai Akademi Fantasia 3.
Namun disebabkan situasi banjir yang dihadapi rakyat Malaysia, pihak penganjur telah mengambil keputusan untuk menunda Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur yang dijadualkan berlangsung pada 25 Januari kepada bulan Julai.
#Konsert #Mawi #Konsert Tsumawi Live In Kuala Lumpur