Status Tuju Dalam K-Clique Akhirnya Terjawab, Noki; “Bukan Kami Yang Buang Sebaliknya…”
Asyikin Mayudin
28/12/2022 23:55 MYT
28/12/2022 23:55 MYT
Status ketiadaan Tuju ketika kumpulan K-Clique membuat persembahan akhirnya terjawab apabila Noki mengesahkan penyanyi itu secara rasmi sudah meninggalkan band hip hop itu.
Noki atau nama sebenarnya Ahmad Ikhwan Aji ketika ditemu bual Hlive secara ekslusif menegaskan, pengunduran sebagai anggota K-Clique itu adalah kehendak Tuju sendiri.
“Kami sering kali diajukan Tuju mana? Kenapa tiada Tuju bila membuat persembahan bersama-sama, maka secara rasminya saya memaklumkan Tuju sudah tidak bersama K-Clique lagi.
“Betul… Tuju memang sebenarnya sudah keluar dari kumpulan K-Clique. Saya rasa sudah tiga atau empat bulan kalau tidak silap. Bukan kami yang buang sebaliknya kehendak Tuju sendiri.
“Mungkin dia mahu fokus kepada jenama Tuju Loca dan keluargnya. Saya akhirnya membuka mulut kerana setiap kali kami berkongsi video atau foto, pasti ada peminat yang bertanya di ruangan komen,” kata Noki.
Dalam pada itu, Noki turut mengulas mengenai single Tuju dan isterinya, Loca B berjudul BNKR yang baru saja dilancarkan sekitar awal Disember lalu.
“Berkenaan lagu terbaru yang dilancarkan oleh Tuju dan Loca B itu, saya mengambil pendekatan untuk tidak memberikan sebarang komen. Kami fokus buat diri sendiri dan perjalanan kerjaya kami,
“Bagi saya, lagu itu sebuah karya yang baik dan jika niat mereka untuk memajukan nama mereka dalam industri, maka teruskan kerana kami sentiasa sokong kerjaya mereka.
“Namun, sekiranya niat mereka hendak ‘diss’ kami dalam lagu, terpulang kepada mereka. Ini kerana kami tidak mengeluarkan sebarang komen berhubung isu itu dan menyerahkan sepenuhnya kepada mereka,” katanya.
Terdahulu,ketiadaan Tuju dalam persembahan pada Konsert Havoc Midnight di Shah Alam yang berlangsung September lalu mengundang pelbagai reaksi sehingga dikatakan wujud perselisihan faham antara mereka.
Bagaimanapun, perkara itu dinafikan oleh salah seorang anggotanya iaitu MK yang mengatakan Tuju tidak dapat bersama kerana mempunyai komitmen bersama keluarga.
Selain Noki, Tuju dan MK, K-Clique turut dibarisi Somean, KDeaf, FareedPF, Gnello dan NastyNas.
Kesemua mereka yang popular menerusi lagu Mimpi itu adalah anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah.