Semalam tular di media sosial rakaman video penyanyi dan pelakon legenda, Datuk Jamal menghiburkan petugas barisan hadapan dan penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin, Seksyen 19, Shah Alam, Selangor.

Rakaman yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp itu memaparkan Jamal sedang menyanyikan lagu hitnya, Kekasih Awal Dan Akhir.

Menerusi rakaman itu, dilihat beberapa petugas di PPV merakam momen tersebut dan masing-masing kelihatan teruja.

Difahamkan Jamal telah meluangkan masa kira-kira dua jam di PPV tersebut selepas menerima suntikan vaksin, untuk menghiburkan petugas barisan hadapan.

Jamal telah menerima suntikan pertama vaksin jenis Pfizer pada Sabtu.

Dalam pada itu Jamal turut mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Alhamdulillah saya sudah terima vaksin dose pertama.. Setelah divaksin saya sempat menunaikan hajat KKM untuk menyumbangkan sebuah lagu..

“Terima kasih KKM, dan Dewan MBSA Seksyen 19, Shah Alam,” katanya.

A post shared by Jamal Abdillah (@jamalabdillahofficial)


Sementara itu memetik kenyataan Jamal di Harian Metro, penyanyi berusia 62 tahun tersebut turut berpesan kepada orang ramai khasnya golongan warga emas agar usah berasa ragu untuk menerima suntikan vaksin.

"Jangan takut untuk dapatkan suntikan vaksin ini. Jika kurang pasti, dapatkan info daripada anak-anak dan saudara-mara bagi memudahkan urusan suntikan vaksin disegerakan.

"Seperti yang kita ketahui, golongan warga emas amat berisiko dan kita risau jika mereka terlambat untuk mendapatkan vaksin.

"Jadi, saya harap pihak KKM perlu akan mencari jalan untuk proses pemberian vaksin kepada penduduk kampung dipercepatkan," ujarnya.