Bagi generasi yang lahir pada tahun 80-an dan 90-an, filem Shaolin Soccer bukan asing bagi penonton.

Filem Hong Kong yang dihasilkan oleh Stephen Chow tu mengisahkan tentang lima sekawan yang menggunakan kepakaran dalam bidang seni pertahanan diri ke lapangan bola sepak.

Shaolin Soccer diterbitkan pada 2001 dan kini selepas 22 tahun, Chow mengumumkan akan menghasilkan versi terkini filem tersebut yang diberi judul Shaolin Women’s Soccer.

Menerusi perkongsian di Instagramnya, Chow yang meraikan ulang tahun ke-61 mengumumkan pencarian pelakon wanita untuk terbabit dalam naskhah tersebut.

“Ini adalah impian ulang tahun saya. Mahu menghabiskan banyak masa dengan wanita cantik, bijak dan athletic. Semua dialu-alukan (penyertaan). Lebih ramai lebih bagus,” tulisnya seperti dilaporkan South China Morning Post.

Perkongsian tersebut telah menarik minat ramai termasuk dalam kalangan pelaku seni termasuk aktor Daniel Wu, Myolie Wu, dan Edison Chen.

Edison Chen malah dilihat menawarkan diri untuk menjadi pelakon wanita dalam karya yang akan diusahakan Chow.

“Boleh saya jadi salah seorang wanita anda?”tulis Chen.

Shaolin Soccer yang turut dibintangi oleh Chow sendiri bersama bintang lainnya seperti Ng Man-tat, Vicki Zhao, Karen Mok dan Cecilia Cheung telah memenangi pelbagai anugerah dan menjadi fenomena peminat filem komedi.

Chow kali terakhir mengarahkan karya pada 2019 berjudul The New King Of Comedy.