Jom Sertai Keluang Man Fun Run yang akan berlangsung pada 18 Mei 2025 dan berlari bersama Borhan! 
VIRAL

Stesen Radio 'Tipu' Pendengar, Guna Hos AI

Gempak 03/05/2025 | 15:55 MYT

Sebuah stesen radio popular di Australia mengaku telah menggunakan hos wanita berasaskan kecerdasan buatan (AI) selama enam bulan tanpa pengetahuan pendengar, sehingga identiti misteri hos tersebut mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat.

Memetik laporan Oddity Central, Stesen CADA milik Australian Radio Network (ARN) memperkenalkan hos baharu dikenali sebagai Thy tahun lalu menerusi program bertajuk Workdays With Thy, yang ke udara setiap Isnin hingga Jumaat selama empat jam.

Suara wanita muda itu mengendalikan segmen muzik secara konsisten sehingga pendengar mula curiga.

Antara yang menimbulkan persoalan ialah ketiadaan nama penuh, latar belakang, atau maklumat peribadi mengenai Thy. Tambahan pula, beberapa frasa yang diucapkannya kedengaran terlalu seragam dan diulang dengan nada sama pada setiap siaran.

“Apakah nama penuh Thy? Siapa dia sebenarnya? Tiada sebarang biografi atau maklumat lanjut mengenai wanita ini,” tulis penulis dari Sydney, Stephanie Coombes dalam blog peribadinya.

Susulan siasatan oleh pendengar dan penganalisis media, ARN akhirnya mengesahkan bahawa Thy bukan hos sebenar, sebaliknya satu perisian suara AI yang dibangunkan oleh syarikat ElevenLabs.

Pengakuan itu disahkan oleh ketua projek ARN, Fayed Tohme, yang menyifatkan eksperimen itu sebagai ‘tiada mikrofon, tiada studio, hanya kod dan semangat’, dalam satu hantaran LinkedIn yang kini telah dipadam.

Sumber: Sinar Harian

#Penyampai radio #Stesen radio #Suara AI