Pemandu Grab dinasihatkan untuk menangguhkan seketika perkhidmatan mereka sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Presiden Persatuan Pemandu Grab Malaysia, Arif Asyraf Ali berkata, dia juga mahu menggerakkan kempen cuti kayuh demi kesejahteraan bersama.

"Saya nasihatkan untuk semua admin beritahu rakan pemandu berhenti dululah hingga 1 haribulan (April).

"Saya nak gerakkan kempen cuti kayuh demi memutuskan rantaian COVID-19 ini, dan sahutlah saranan kerajaan demi kebaikan bersama," katanya menerusi satu kenyataan yang dimuat naik di laman rasmi Facebook Persatuan Pemandu Grab Malaysia.

Mengakui tindakan tersebut mungkin akan mengganggu pendapatan pemandu Grab, namun, katanya itu bukan alasan untuk meletakkan diri dalam keadaan berisiko dan mengancam nyawa.

"Berbaloikah risikokan nyawa tuan-tuan, puan-puan, serta keluarga bila anda pulang nantim, berbanding tambang Grab atau Grabfood?

"Betul, kita rugi dua minggu tuan-tuan. Tapi, andaikan anda terkena, jangankan dua minggu, silap-silap berbulan-bulan anda diasingkan, keluarga juga perlu pengasingan. Lagi besar masalah anda berbanding dua minggu tak kayuh," jelasnya.

Katanya lagi, dia menasihati agar semua pemandu Grab tidak bimbang dan percaya dengan rezeki.

"Pulang ke pangkuan keluarga masing-masing, insya-Allah, semoga rezeki kita akan dipermudahkan oleh Allah, selepas dua minggu ini nanti. Janganlah gusar.

"Penyewa-penyewa kereta, berbincang baik-baik dengan pihak syarikat. Saya percaya, mereka boleh berunding dalam tempoh darurat wabak merbahaya ketika ini," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 Mac sehingga 31 Mac ini.

Bagaimanapun, dalam tempoh tersebut, syarikat yang menyediakan keperluan utama dikecualikan termasuklah perkhidmatan pengangkutan awam.




Kredit Foto: Astro Awani