Borak & chill dari isu semasa ke topik viral. Tonton rancangan bual bicara di SeeNI sekarang!
Laman Utama

Suami Dah Boleh Teman Isteri Bersalin, Ramai Ucap - “Terima Kasih KJ Sebab Dengar Luahan”

Mya Amri 28/09/2021 | 10:01 MYT

Berita mengenai memberikan kebenaran kepada suami untuk menemani isteri yang bakal bersalin benar-benar melegakan para ibu.

Walaupun kebenaran itu diberikan dengan syarat para suami harus lengkap dua dos suntikan vaksin selain perlu menjalani ujian COVID-19, namun para isteri tetap meluahkan rasa syukur.

Menerusi media sosial, rata-rata ibu hamil mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar kerana peka dan mendengar luahan rakyat.

Mereka juga memuji tindakan beliau yang terus mengetengahkan isu berkenaan dan memohon Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham mempertimbangkan permintaan itu.

Terdahulu, seorang pengguna Twitter memohon suami lengkap divaksinasi dan negatif ujian saringan COVID-19 dibenarkan menemani isteri dalam bilik bersalin.

Kementerian Kesihatan (KKM) kemudiannya memberi kebenaran selepas Dr Noor Hisham memberikan respon terhadap ciapan tersebut.

Dr Noor Hisham juga memaklumkan akan mengeluarkan arahan untuk membenarkan suami yang lengkap divaksin dan bebas COVID-19 menemani isteri dalam wad bersalin.

Menterinya, Khairy Jamaluddin, berkata beliau sudah meminta Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah untuk mengeluarkan kebenaran itu di semua hospital kerajaan.

Sebelum ini, hospital kerajaan tidak membenarkan suami untuk menemani isteri di dalam dewan bersalin sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula Mac tahun lalu akibat penularan COVID-19.

Kredit foto: The Star

#Bersalin #Khairy Jamaluddin #KJ #KP Kesihatan #Dr Noor Hisham Abdullah #Ibu Bersalin #Menteri Kesihatan #DG Hisham #Tan Sri Dr Noor Hisham #Teman Isteri Bersalin
;