VIRAL
Suami Isteri Maut Kemalangan, Baru Selesai Rakam Gambar Hari Raya - "Tak Sangka Jadi Foto Terakhir ..."
Pasangan suami isteri yang maut dalam kemalangan di Kampung Merbau Kudung, Jalan Teloi Timur di sini dikatakan baru sahaja merakamkan gambar kenangan untuk hari raya pada Selasa.
Lokman Hakim Mohd Shukri, 23, dan isterinya, Intan Suraya Zaidi, 24, dipercayai selesai merakamkan gambar di Parit Panjang, Baling dan dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumah di Kampung Kuala Teloi Batu Lima, Sik, Kedah sebelum terbabit kemalangan.
Pemilik Bromie Studio, Muhammad Suhaimi Yahaya, 35, berkata, pasangan suami isteri itu datang ke studio miliknya pada jam 11 pagi untuk merakamkan gambar dan mengambil masa kira-kira 30 minit.
Menurutnya, kedua-duanya nampak seronok dan wajah mereka kelihatan berseri-seri ketika itu.
"Mereka teruja kerana dapat ambil gambar raya yang siap dicuci terus hari ini dan saya hantar salinan ke telefon bimbit jenis Iphone milik mereka, masa ambil gambar tadi pun mereka banyak gelak dan cukup ceria.
"Tak lama kemudian saya terkejut apabila mendapat tahu kedua-duanya maut dalam kemalangan," katanya.
Muhammad Suhaimi berkata, sebelum ini dia pernah menjadi jurufoto perkahwinan mereka pada Jun tahun lalu.
Katanya, kedua-dua mangsa disifatkan sebagai sangat baik selain begitu gembira.
"Ini kali kedua saya merakamkan gambar kenangan mereka dan tak sangka menjadi foto yang terakhir saya ambil untuk kedua-duanya," katanya.
Difahamkan, kejadian pada jam kira-kira 4.16 petang itu berlaku apabila kenderaan jenis Perodua Myvi dinaiki pasangan itu dikatakan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan menyebabkannya bertembung dengan sebuah lori muatan 10 tan.
Kedua-dua mangsa dilaporkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.
Must-Watch Video