VIRAL
Suami Kieda Crepe Buka Mulut Isu Isteri Jumpa Pelanggan Bagi Bad Review - “Saya Sendiri Yang Galakan”
Suami kepada usahawan Kieda Crepe, Amy tampil menjelaskan keadaan sebenar di sebalik penularan video isterinya yang bersemuka dengan pelanggan yang dikatakan memberi bad review terhadap produk jualannya.
Menerusi satu video yang dimuat naik di TikTok, Hilmi atau lebih mesra dikenali sebagai Amy berkata, dia sendiri yang mencadangkan agar Kieda bertemu individu tersebut, bukan untuk bermusuhan, tetapi bagi menjernihkan keadaan yang semakin dipanaskan oleh netizen.
Katanya lagi, sebagai seorang ahli perniagaan, mereka perlu bersikap keterbukaan segala kritikan namun menganggap tindakan wanita tersebut sudah melampaui batas.
“Sebagai seorang peniaga, memang kena professional, terima segala kritikan dan hadam walau sakit hati macam mana sekalipun.
"Tapi kalini yang Kieda ambil tindakan ni, saya sendiri yang galakan. Sebab kita nak buat satu pencerahan selepas sesetangah netizen melaga-lagakan Kieda dan pihak ‘B’,” katanya.
Bagaimanapun, suami Kieda mengakui mereka sentiasa terbuka menerima kritikan membina, malah sudah biasa berdepan dengan pelbagai jenis komen selama tiga tahun menjalankan perniagaan Kieda Crepe.
Namun, mereka kini tidak mampu untuk bersikap tentang lagi apabila menerima komen dari pihak ‘B’ yang agak keterlaluan dan boleh menjatuhkan periuk nasi orang lain.
“Terdapat staf pihak ‘B’ yang menghina makanan. Tak sedap tak apa, sedap ini adalah satu subjektif tapi tolonglah jangan tutup periuk nasi mana-mana peniaga sekalipun.
"Sebab dalam kapsyen yang ditulis dia kata, ‘Kieda Crepe game pelanggan’,” jelasnya.
Pada masa sama, Amy juga menyatakan mereka tidak pernah mengambil hati dengan sebarang rating rendah yang diterima.
Malah, mereka menjadikan maklum balas itu sebagai peluang untuk memperbaiki produk.
“Wallahi, Kieda Crepe tak pernah ambil serius pun pasal rating 1/10, 2/10 atau kata tak kena dengan tekak. Kita dengar dan baiki.
“Dulu orang kata durian custard tak rasa durian, kita keluarkan durian original. Kita usaha dengar suara pelanggan. Lagi satu nak bagitahu, cuba kalian pejam mata dan pegang hati, siapa yang mulakan dulu? Kalau pihak ‘B’ tak mulakan dulu, Kieda Crepe takkan ambil tindakan serius seperti ini, itu sahaja.,” ujarnya.
Percaya mungkin ada hikmah disebalik masalah ini, Amy menganggap perkara yang berlaku ini adalah satu ujian buat dia dan isterinya.
“Ujian tetap ujian, mana tahu Allah nak beri rezeki yang lebih kepada Kieda Crepe. Tapi Dia bagi ujian dulu untuk tengok boleh hadap atau tidak,” kongsinya.
Terdahulu, seorang wanita memberi ulasan jujur dengan mengatakan ‘crepe’ yang dijual Kieda tidak sedap selain harga yang diletakkan tidak berpatutan.
Tidak lama kemudian, Kieda berjumpa dengan wanita terbabit dan mendakwa tindakannya telah memberi kesan negatif kepada syarikat. Malah, Kieda telah memulangkan semula wang wanita itu.