Gaya Hidup
"Suami Meninggal Akibat Kanser, Ada Dua Anak Sakit Dan Terpaksa Cari Duit..." - Sebab Dr Che Hafiz Bantu Buat IG Review
Dr Che Hafiz mengakui ada satu kisah yang menyebabkan dia mula melakukan ulasan Instagram atau IG review.
Kisah itu dikongsi Dr Che hafiz pada satu entri di Instagram miliknya yang mempunyai lebih 66,000 orang pengikut.
"Masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pun duit masuk? Biar betik doc ni! Sepanjang PKP ni saya rasa antara paling banyak buat IG story iklankan pasal makanan, minuman dan lain-lain lagi berkaitan barangan keperluan seharian berbanding hari-hari sebelum bermulanya PKP.
"Sebenarnya bukan saya nak merungut ke apa tapi ada satu perkara yang terjadi kepada diri saya sehingga membuatkan hati saya terbuka untuk buat IG review, bantu setakat mana yang saya mampu kepada mereka yang berniaga masa PKP terutamanya peniaga kecil dan sederhana," tulis Che Hafiz panjang lebar.
Menurut Dr Che Hafiz, ianya bermula apabila dia menerima satu mesej peribadi melalui telefon bimbitnya.
"Terkandung di dalam mesej tersebut berkenaan seorang wanita lingkungan 40 tahun, suaminya telah lama meninggal dunia akibat kanser.
"Katanya lagi ada dua orang anak yang perlu ditanggung dan kedua-dua orang anaknya itu mengalami Kecacatan otak," kongsi Dr Che Hafiz.
Tambah Che Hafiz, apa yang membuat dia tambah tertarik adalah apabila wanita tersebut bertanyakan berapa harga yang dikenakan jika dia ingin membuat IG Story tentang jualannya.
"Wanita itu memberitahu buat masa itu dia tidak boleh keluar bekerja seperti biasa dan hanya mampu bekerja dari rumah dan berniaga secara onlina sahaja.
"Saya pun dengan pantasnya jawab takpalah puan saya buat free je untuk puan. Saya rasa orang macam ni layak dipuji sebab gigih berusaha mencari sumber rezeki halal walaupun masa-masa kritikal macam PKP sekarang ni.
"Semoga kita semua menjadi orang yang sentiasa bersyukur kerana dengan lahirnya rasa selalu bersyukur ini maka jiwa pun dapat dididik dengan baik," tulis Che Hafiz lagi.
Tambahnya, kita perlu saling ingat mengingati bahawa setiap yang kaya pasti ada yang miskin, setiap yang senang pasti ada yang susah.
"Setiap bencana yang hadir itu pasti ada hikmahnya tersendiri manakala setiap orang yang duduk rumah pasti ada orang yang duduk di luar untuk terus berjuang demi tugasan negara seperti frontliners menentang covid-19," tambahnya lagi.
Che Hafiz juga berharap kita semua jangan menjadi pembenci, tetapi sebaliknya menyebarkan rasa cinta antara satu sama lain.