HOLLYWOOD
Suami Meninggal Dunia, Dolly Parton Kahwin 60 Tahun Tanpa Anak
Suami pesohor Hollywood, Dolly Parton, Carl Dean meninggal dunia pada usia 82 tahun. Apa yang menarik mengenai pasangan ini adalah mereka telah berkahwin selama 60 tahun tanpa memiliki cahaya mata.
Parton, 79, menerusi satu temu bual bersama Oprah Winfrey memberitahu keputusan untuk tidak memiliki zuriat adalah atas persetujuan bersama.
Hal ini lantaran kehidupannya sebagai seorang penghibur yang sentiasa sibuk disifatkan sebagai tidak sesuai memiliki anak.
“Oleh kerana kami tiada anak jadi saya memiliki kebebasan. Jadi saya fikir salah satu faktor yang membuatkan karier saya sukses adalah kerana saya bebas bekerja,” katanya dalam temu bual tersebut pada tahun 2020 lapor People.
Pelantun 9 To 5, Jolene dan Here You Come Again yang berkahwin dengan Dean sebelum melakar populariti juga menjelaskan dirinya mengerti mengapa tidak diberi peluang memiliki anak.
“Saya tidak punya anak kerana saya percaya Tuhan mahukan ia begitu. Jadi zuriat orang lain boleh menjadi anak saya,” katanya lagi.
Meski tanpa zuriat, Parton mengaku kehidupan menjadi isteri Dean selama hampir 60 tahun sebelum lelaki itu meninggal dunia pada 3 Mac lalu adalah hal terindah.
“Kami telah menghabiskan 60 tahun yang cukup indah. Kata-kata tidak dapat memberi justifikasi kepada kebahagiaan kami. Terima kasih kerana simpati dan doa anda,” kata Parton mengenai kematian suaminya.
Pasangan tersebut pertama kali berjumpa sewaktu Parton berusia 18 tahun dan berkahwin dua tahun kemudian. Dean memilih untuk tidak terlibat dengan dunia glamor Parton.
Must-Watch Video