Suami kepada Mizz Nina iaitu Essam Muhammad menafikan nama sebenar anak angkatnya seperti yang didedah oleh penyanyi Noh Salleh sebelum ini.

Menurut Essam, nama sebenar Musa bukanlah Musa Mohammad Noh Bin Abdullah.

“Itu bukan nama sebenar Musa. Saya ingin menegaskan bahawa nama penuh Musa yang kononnya disebut di Internet tempoh hari adalah tidak benar. Dia (Noh Salleh) telah memberikan informasi yang salah kepada semua.

“Begitupun, saya enggan mendedahkan nama penuh Musa kerana ingin melindungi identiti dan maklumat peribadinya kepada umum,” katanya selepas prosiding sulh di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, pada Isnin.

Essam hadir sebagai wakil kepada isterinya bersama dua orang pegawai yang dilantik Mizz Nina.

Selain itu, Essam yang juga penyanyi rap itu menegaskan yang isterinya turut mempunyai dokumen hak penjagaan yang sah dan tidak mahu Musa menjadi mangsa dalam masalah yang berlaku.

“Isteri saya mempunyai dokumen yang sah untuk menjaga Musa. Saya di sini mewakili isteri saya iaitu Mizz Nina ingin menegaskan bahawa tiada seorang anak pun yang patut diambil daripada penjaga tanpa keizinan daripada ibu bapanya.

“Bukan itu sahaja, pihak defendan malah mendedahkan nama sebenar ibu kandung Musa kepada umum menerusi sebuah kenyataan permohonan maaf.

“Tiada ibu kandung yang mahu satu Malaysia tahu bahawa dia telah menyerahkan anaknya sendiri kepada orang lain. Perbuatannya sangat memalukan dan tidak beretika,” katanya lagi.

Essam menambah, dia meminta Noh untuk berhubung secara terus dengannya sekiranya mahu berbincang mengenai isu penjagaan Musa.

“Kalau dia mahu berkomunikasi dengan ahli keluarga saya termasuk Nina, saya adalah mahramnya.

“Jangan cari isteri saya, carilah saya. Kalau dia mahu berkomunikasi dengan saya, media sosial saya masih public,” katanya.

Sebelum ini, vokalis kumpulan Hujan itu mencuri perhatian apabila mendedahkan nama penuh anak angkatnya iaitu Mohammad Noh bin Abdullah di Instagram.

Untuk info, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada Julai 2011, namun, bercerai pada Ogos 2022 dan mereka tidak dikurniakan anak. Kini, Noh dan Mizz Nina sudah mendirikan rumah tangga kali kedua dengan pasangan pilihan masing-masing.