VIRAL
Suami Orang Anak 6 Dicekup Khalwat Dengan Ibu Tunggal Anak Satu
Seorang lelaki berstatus suami orang ditahan kerana disyaki berkhalwat bersama seorang ibu tunggal dalam serbuan di sebuah rumah di Padang Serai, Kedah, awal pagi Ahad.
Lelaki berusia 46 tahun itu mendakwa datang ke rumah kenalan wanitanya hanya untuk membantu membawa kereta wanita itu untuk dibaiki.
Dia yang bekerja sebagai pemandu lori dicekup kira-kira jam 2.05 pagi oleh pegawai masjid sebelum diserahkan kepada Pegawai Penguat Kuasa Pejabat Agama Daerah Kulim (PADK) untuk tindakan lanjut.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Sharifuddin Mat Saad berkata, ketika pemeriksaan dilakukan, lelaki berkenaan membuka pintu dalam keadaan hanya memakai seluar tanpa baju.
“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati seorang wanita berusia 42 tahun yang merupakan ibu tunggal berada di dalam sebuah bilik bersama anak perempuannya berusia 12 tahun yang sedang tidur.
“Pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat,” katanya pada Ahad.
Menurutnya, siasatan mendapati wanita itu merupakan ibu tunggal yang kematian suami sejak enam tahun lalu dan hanya memperoleh pendapatan daripada wang pencen Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), manakala lelaki tersebut masih mempunyai isteri serta enam anak.
“Mereka mengaku berkenalan sejak enam tahun lalu melalui laman sosial Facebook,” ujarnya.
Pasangan itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran sebelum dibawa ke pejabat agama daerah untuk diambil keterangan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah 2014 kerana disyaki berkhalwat.
Must-Watch Video