Penyanyi Kaka Azraff mendedahkan dia tidak boleh menghidu bau badan suaminya, Adam Azriff pada awal trimester kehamilan.

Menurut Kaka, Adam seorang perokok namun dia sanggup berhenti merokok sejak dua bulan lalu.

"Pada awal kehamilan, saya tidak suka dengan bau badan suami sehinggakan dia cakap nak pindah di rumah depan.

"Adam seorang perokok jadi saya tidak boleh dengan baunya.

"Tapi syukur Alhamdulillah, Adam sangat membantu apabila mengetahui keadaan saya.

"Adam sudah berhenti merokok sepenuhnya hampir dua bulan lalu untuk saya," katanya kepada Gempak.

Tambah Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 30, dia melahirkan rasa syukur kerana mendapat pasangan yang sentiasa menyokong walau dalam pelbagai situasi.

"Kita nak dapat pasangan yang sanggup berkorban bersama-sama.

"Saya berasa bersyukur kerana mendapat pasangan yang sangat menyokong serta membantu dalam apa sahaja situasi," katanya lagi.