Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Suami Tak Larang Menyanyi, Saya Yang Sibuk Dengan Anak - Intan Sarafina

Ahmad Shah 15/08/2016 | 04:30 MYT

Penyanyi Intan Sarafina menepis dakwaan yang suami tidak memberi keizinan kepadanya untuk menyanyi selepas mendirikan rumah tangga.

Intan atau nama sebenarnya Ungku Intan Sarafina Ungku Yahya, 35, berkata dia sendiri yang mengambil keputusan berehat daripada dunia nyanyian untuk memberikan fokus kepada keluarga.
“Saya akui lepas berkahwin pada tahun 2008 tu memang agak senyap daripada dunia seni. Suami tiada kena mengena dengan kehilangan saya dari dunia seni, saya yang sibuk dengan anak. Dia okay saja," katanya kepada Astro Gempak.
Tambah Intan lagi, dia merasakan 2016 adalah masa yang sesuai untuknya kembali menyanyi kerana anak-anak sudah semakin membesar.
“Selepas saya mendirikan rumahtangga, tuhan beri rezeki awal dan saya hamil. Selepas itu saya sibuk menguruskan anak dan ketika itu saya fikir belum tiba masanya untuk menyanyi dan ambil keputusan berehat seketika.
“Sekarang anak-anak saya dah semakin membesar dan saya rasa inilah masa yang sesuai untuk membuat kemunculan semula dalam bidang seni,” jelasnya.
Menurutnya lagi suami, Iskandar Ezzahuddin sering memberikan semangat dan sokongan kepada dirinya untuk kembali menyanyi.
“Bila saya beritahu hasrat untuk kembali menyanyi, suami saya terus beri sokongan padu kepada saya buat ‘comeback’,” kata ibu kepada Megat Evan,7, Megat Israfel, 5, dan Megat Noah, 2 ini.
Mengulas mengenai pembabitannya dalam pertandigan Super Karoks, Intan akui program tersebut merupakan salah satu persediaan untuk kembali menyanyi.
“Hampir lapan tahun tidak menyanyi dan saya anggap Super Karoks ini sebagai salah satu platform untuk perlahan-lahan kembali ke dunia seni.
“Sebenarnya saya tak sangka akan jadi juara. Alhamdulillah, mungkin ini rezeki dan secara jujurnya kemenangan ini menyuntik semangat saya untuk kembali serius,” katanya yang bergandingan bersama Elyana dan menamakan kumpulan mereka Hey Ladies.
Hey Ladies muncul juara Super Karoks anjuran stesen radio Kool fm selepas mendapat undian tertinggi i sebanyak 40 peratus dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM15,000.
Dalam perkembangan lain, Intan kini sibuk membuat persiapan single terbarunya berjudul Aku Rindu.

#Intan Sarafina
;