Hiburan
"Suami Tidak Halang, Tapi..." - Tya Arifin Perlu Pertimbang Tawaran Diterima
Menantu tiri Datuk Seri Siti Nurhaliza, Tya Arifin akui perlu mendapatkan keizinan suaminya, Asyraf Khalid sebelum menerima sebarang tawaran berlakon atau muncul dalam mana-mana program televisyen.
Menurut Tya, Asyraf tidak pernah menghalang tetapi ia perlu dipertimbangkan memandangkan kini sudah mempunyai dua orang anak.
"Saya rindu nak berlakon dan masih terbuka untuk kembali di kaca televisyen seperti sebelum ini.
"Cuma sekarang ini saya baru habis proses berpantang dan sibuk menguruskan perniagaan jual jamu.
"Suami tidak pernah menghalang tetapi saya kena tengok sama ada tawaran itu sesuai atau tidak memandangkan saya kini ibu kepada dua orang anak," katanya kepada Gempak.
Tya ditemui ketika majlis perasmian produk keluaran penyanyi Kilafairy, Kilafit yang diadakan di Forest Hall, Kajang.
Tambah Tya atau nama sebenarnya Nurtria Wulandari Arifin, keluarganya makin meriah selepas kehadiran anak kedua, Azzahra Jiwa Asyraf.
"Saya berasa bersyukur dan gembira kerana bilangan ahli keluarga sudah bertambah.
"Kehidupan saya sudah lengkap kerana sudah mempunyai sepasang anak, seorang lelaki dan perempuan," katanya lagi.
Tya dan Asyraf berkahwin pada 1 November 2015.
Menerusi perkongsian hidup, pasangan ini telah dikurniakan dua orang cahaya mata, Arif Jiwa dan Azzahra Jiwa.
Must-Watch Video