Berita
"Suara Buruk! Buat Suara Biasa Dahlah Woi!" - Didakwa Sengaja Buat Suara Macho, Ini Penjelasan Fizi Ali..
Penyampai radio, Fizi Ali menafikan bahawa dirinya sengaja membuat suara besar untuk kedengaran macho seperti yang didakwa sesetengah pihak ketika bersiaran di konti.
Sebaliknya, suami kepada pelakon Shakilla Khoriri itu menjelaskan, suara yang dilontarkan ketika bercakap itu merupakan nada asli yang bukan dibuat-buat.
"Ya, saya memang bila lepas akil baligh suara terus besar macam ni..bukan dibuat-buat..
"Tak faham apa maksudnya suara tak padan dengan muka..nak saya kepit ke suara??? aiyakkk..hmm salahkah saya ada suara besar macam ni??" katanya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Fizi meluahkan hal tersebut selepas terdapat pihak yang mengkritik dirinya yang didakwa sengaja cuba menukar nada suara aslinya.
Penyampai radio Suria FM itu turut berkongsi paparan mesej individu berkenaan di posting tersebut.
"Suara kau tertelan halkumlah? Hari Sabtu, Ahad biasa je suara. Hari Isnin hingga Jumaat, suara kau macam orang tercekik halkum sendiri. Haha!!
Patutlah Cik Piya ajuk suara kau besar tertelan halkum. Suara tak padan dengan rupa, suara buruk! Buat suara biasa dahlah woi! Nak tunjuk Macho konon, perempuan tak suka!," tulis individu berkenaan.
Perkongsian Fizi itu kemudian menerima pelbagai respons dalam kalangan pengikutnya.
"Suara abam seksi okay! Dia cemburu tu!.
"Kali pertama dengar suara kau je terus tak hairan kenapa kau jadi penyampai radio, memang suara yang dilahirkan untuk jadi penyampai radio. Pedulikanlah apa orang nak kata.
"Tak perlu layan. Kalau rasa tak suka tak payah dengar, ramai lagi nak dengar suara Fizi," tulis sebahagian netizen di ruangan komen.
Fizi kini mengendalikan segmen pagi di Suria FM bersama dua pelawak, Issey Fazlisham dan Ajak Shiro.