Hiburan
Suara Tak Sedap Tapi Lepas Final AJL34, Ini Jawapan Ali Masdo! "Dah Rezeki Takkan Nak Tolak"
Vokalis kugiran Masdo, Ali Sariah akui berdepan pelbagai kritikan dari netizen berhubung kualiti vokalnya terutama selepas berjaya lolos ke final Anugerah Juara Lagu ke-34 baru-baru ini.
Jelas Ali, dia tidak terkesan dengan komen terbabit dan menganggap kemaraan Masdo ke AJL34 adalah rezeki.
"Saya tahu vokal saya biasa-biasa sahaja. Saya tak pernah pun cakap suara saya sedap...
"Bukan pertama kali saya dikritik sebegini, sebelum ini pun ada dan saya dah biasa.
"Apa yang berlaku pada malam separuh akhir Muzik-Muzik 34 lalu di luar jangkaan. Saya anggap itu rezeki Masdo memandangkan ketika itu tekak saya bermasalah.
"Kami nekad teruskan persembahan sebab saya tak suka memberikan alasan. Jadi apabila rezeki berpihak pada kami, takkan Masdo nak tolak?" katanya kepada Gempak.
Berkongsi persiapan menjelang AJL34, Masdo berdepan kesukaran untuk mencari dana menyiapkan props dan kelengkapan memandangkan kumpulan itu bergerak sendiri.
"Alhamdulillah susunan muzik final sudah siap dan kami menunggu masa sesuai untuk berlatih bersama pemuzik lain," ujarnya.
Masdo yang mempertaruhkan lagu Dinda bakal bersaing dengan 11 lagu lain antaranya Ku Bersuara, Sumpah, Rampas, Anta Permana, Lembah Kesepian dan Ragaman.