Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Suasana Meriah Rai Kepulangan Wira Wirawati Paralimpik Paris 2024

Gempak
11/09/2024 07:45 MYT

Suasana di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 sekali lagi bergema dengan tepukan gemuruh peminat sukan tanah air ketika menyambut kepulangan barisan atlet para yang menggalas harapan negara di Sukan Paralimpik Paris 2024, malam tadi.

Disambut Meriah

Kontinjen negara diketuai Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Paralimpik Paris, Datuk Subramaniam Raman Nair serta pemenang pingat emas Cheah Like Hou dalam acara badminton dan badang Sarawak Bonnie Bunyau Gustin selamat tiba pada 8.10 malam menerusi penerbangan Oman Air.

Kira-kira 200 peminat sukan tanah air itu turut meraikan kepulangan Datuk Abdul Latif Romly yang meraih perak acara lompat jauh, atlet para lontar peluru Muhammad Ziyad Zolkefli serta pemenang gangsa acara 100 meter (m) Eddy Bernard selain 25 atlet yang lain.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Dr K Nagulendran dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub.

Malaysia menamatkan saingan di kedudukan ke-42 secara keseluruhan apabila meraih dua emas, dua perak dan satu gangsa pada temasya yang berlangsung dari 28 Ogos hingga 8 September itu.

Sementara itu, Abdul Rashid berkata, jumlah pingat yang diraih pada edisi kali ini membanggakan dan tidak tersasar jauh daripada sasaran Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

"Sasaran di peringkat awal dibuat kita sambut baik. MSN sokong sasaran itu, kita akui ia tidak berjaya dicapai, yang tak dapat emas dapat perak, itu pun sudah cukup tinggi dan mereka dah cuba dapatkan emas,” katanya.

Sumber: Sinar Harian menerusi Bernama

#Paralimpik #KLIA #Meriah #Sambutan #Bangga #PARIS2024