“Suatu Hari Saya Akan Buka Gym Sendiri Untuk Orang Awam” – TMJ Mahu Rakyat Johor Amal Gaya Hidup Sihat
Selepas berjaya menurunkan berat badan hampir 22 kilogram (kg), pemilik kelab Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) berhasrat untuk membina sebuah pusat gimnasium khas untuk rakyat Johor.
TMJ menerusi laman sosial Instagramnya berkata, baginda mahu rakyat Johor mengamalkan gaya hidup sihat.
"Suatu hari saya akan buka gym (gimnasium) sendiri yang dibuka untuk orang awam dan anda semua dapat melakukan senaman.
Mengulas mengenai penampilan barunya yang kelihatan lebih kurus berbanding sebelum ini, Tunku Ismail berkongsi rahsia dengan mengakui pengambilan pemakanan yang betul adalah kunci kejayaan.
"Apa paling mustahak adalah pemakanan yang merangkumi 70 hingga 80 peratus dan saya tidak mengambil apa-apa supplement (makanan tambahan), selain senaman yang konsisten. Setiap pagi saya akan minum jus, sayuran dan buah-buahan.
"Ramai cakap tiada gimnasium besar dan sebagainya tapi saya hanya guna ruang kecil sahaja untuk turunkan 22kg. Selain, melakukan senaman tidak lebih satu jam.
"Saya boleh ajar anda bagaimana menghilangkan berat badan dalam masa 20 minit, tidak perlu dua tiga jam di gym atau lari jarak yang jauh.
Tunku Ismail turut berkongsi pengalaman rakannya yang meninggal dunia pada usia 42 tahun akibat serangan jantung walaupun sering ke gimnasium dan mempunyai tubuh badan yang sasa.
"Saya ada kawan berusia 42 tahun dan rapat dengan saya pergi gym setiap hari dan badan sasa tapi meninggal kerana serangan jantung, salah satu faktor kerana salah makan. Jadi makanan paling penting selain jalani gaya hidup sihat," katanya.