HIBURAN

“Subhanallah… Semoga Allah Lindungi Keluargaku” – Rakaman CCTV Gegaran Gempa Bumi Di Segamat Tular

Umirah Halim 24/08/2025 | 01:55 MYT
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan gegaran gempa bumi lemah di Segamat, Johor awal pagi tadi tular di media sosial.

Menerusi perkongsian seorang pengguna di aplikasi Threads, dia meluahkan rasa terkejut apabila keluarganya di daerah itu turut merasai gegaran tersebut sekitar jam 6.13 pagi.

“Gempa bumi di bumi Segamat. Subhanallah. Tiada yang mustahil jika Allah berkehendak. Semoga Allah melindungi keluargaku di sana. Ada sahabat-sahabat dari sana yang rasa gegaran subuh tadi? Korang dekat area mana? Semoga baik-baik semuanya,” tulisnya.

Beberapa video lain yang dirakam orang ramai di sekitar kawasan berkenaan juga mula tersebar sejak awal pagi sekali gus mencetuskan kebimbangan netizen.

Sementara itu, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengesahkan kejadian berkenaan dan menegaskan setakat ini tiada laporan kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda diterima.

“Kerajaan Negeri Johor sedang memantau keadaan dengan teliti bersama agensi berkaitan.

“Saya juga menasihatkan rakyat agar menjauhi struktur tidak kukuh dan sentiasa peka dengan arahan pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam masa sama, Onn Hafiz turut memaklumkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) akan meneruskan pemantauan rapi dan mengeluarkan makluman dari semasa ke semasa.

Malah, turut mengajak rakyat untuk sama-sama berdoa agar negeri Johor dan seluruh negara dilindungi daripada sebarang musibah.

Sumber: Threads
#Tular #CCTV #Segamat #Rakaman