"Sudah 15 Tahun! Kemana Masa Itu Berlalu Pergi?" - Jaclyn Victor Throwback Zaman Awal Kemunculan

Asraf Aided
Oktober 11, 2019 07:38 MYT
Penyanyi popular, Jaclyn Victor atau mesra disapa sebagai Jac mengimbas kembali zaman awal kemunculannya dalam industri hiburan tanah air.
Ketika itu, dia merupakan peserta dan juara program nyanyian Malaysian Idol pada tahun 2004.
Perkongsian itu dibuat menerusi sebuah entri di akaun Instagram miliknya buat tatapan wargamaya.
Menurut Jac, menyertai Malaysian Idol merupakan pengalaman yang sangat berharga dalam hidupnya kerana selain bergelar juara, dia juga telah berkenalan dan banyak meluangkan masa bersama rakan seperjuangan dalam program tersebut.
"15 tahun lalu, selepas beberapa bulan yang menguji emosi, fizikal, mental dan sudah tentu kemampuan vokal, gadis India berasal dari Kepong ini telah mengalami perubahan besar dalam hidupnya.
"Ya, gadis India itu adalah saya, pengalaman menyertai Malaysian Idol sangat berharga untuk saya, selain dapat menjadi juara, perkara yang lagi manis adalah dapat mengenali dan meluangkan masa bersama peserta lain ketika itu," tulis pelantun lagu Gemilang ini sebagai kapsyen.
Dalam pada itu, Jac mengatakan dia masih berhubung dengan rakan-rakan seperjuangannya dan masih berjumpa mereka sehingga kini.
"Kami masih berhubung menerusi 'Whatsapp group' dan akan keluar makan bersama jika berkesempatan.
"Sudah 15 tahun! Kemana masa itu berlalu pergi? Terima kasih kepada anda semua yang sentiasa memberi sokongan terhadap saya selama ini, tanpa anda siapalah saya," tambahnya.
Menjengah ruangan komen, rata-rata netizen meninggalkan respon positif dan memuji kualiti vokal Jac, ada juga yang memintanya tampil dengan single terbaru.
Selepas menjuarai Malaysian Idol, nama Jaclyn victor terus melonjak naik di persada hiburan tanah air. Antara lagu popular penyanyi bersuara nyaring ini adalah Satu Harapan, Pohon Asmara, Ikut Rentakku dan banyak lagi.
#Penyanyi #Jaclyn Victor #Penyanyi