Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini menambah jumlah penumpang dalam kenderaan daripada dua kepada tiga orang sebagai satu daripada prosedur operasi standard (SOP) terbaru.

Menerusi sidang media yang berlangsung sebentar tadi, Ismail memberitahu mesyuarat khas menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah menerima dan mendengar rayuan serta pandangan tentang jumlah penumpang di dalam sesebuah kenderaan.

“Sebelum ini kita meletakkan dua orang dalam satu kenderaan daripada satu rumah untuk membeli barang keperluan.

“Malah kelonggaran diberi oleh pihak polis guna budi bicara, contoh bawa ibu bapa ke klinik, suami isteri tambah ibu bapa. Itu sudah lebih daripada dua.

“Oleh itu mesyuarat hari ini bersetuju beri kelonggaran tiga penumpang untuk satu kenderaan,” katanya.

Jelasnya, perlaksanaan ini turut diaplikasikan terhadap kenderaan teksi dan perkhidmatan e-hailing.

“Ini sama seperti e-hailing atau teksi, pemandu campur dua penumpang, jadi tiga orang. Konsepnya 1+2, kita samakan jumlah iaitu tiga.

“Selain itu budi bicara melebihi tiga orang juga masih diguna pakai. Kita benarkan lebih daripada tiga jika membawa ibu bapa sakit atau kes-kes tertentu.

“SOP ini berkuat kuasa serta merta,” katanya.

Pada masa, jika ada yang masih keliru dengan SOP ditetapkan kerajaan boleh melihat jawapan secara santai dan lucu oleh Polis Daerah Penampang di bawah.

BACA: “Biasa Isteri Merajuk Dia Duduk Belakang Tuan” -Berdekah! Ramai Terhibur Jawapan Admin Polis Ini

Gambar: Astro Awani