Pegawai Khas kepada Datuk Mohammad Kazim bin Elias memuat naik perkembangan terkini mengenai kesihatan penceramah bebas tersebut.

Jasmin Matan menerusi sebuah posting di akaun rasmi Facebook (FB) Kazim Elias memberitahu, penceramah dan pakar motivasi tersebut sudah menjalani imbasan MRI dan ultrasound sejak dimasukkan ke hospital pada Ahad lalu.

Bagaimanapun masih belum ada laporan rasmi daripada pakar perubatan mengenai tahap kesihatan Kazim Elias.

“Beliau telah menjalani imbasan MRI dan ultrasound sebaik sahaja dimasukkan ke hospital.

“Setakat ini tiada lagi laporan drp pihak doktor tentang apa sebenarnya masalah kesihatan yg dihadapi oleh Dato’,” tulis Jasmin.

Dalam pada itu, Jasmin mewakili Kazim Elias dan keluarga mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah mendoakan kesembuhan dan mengambil berat tentang kesihatan beliau.

“Saya mewakili Dato’ dan keluarga mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesembuhan Dato.

“Terima kasih juga kepada pihak media yang sentiasa mengambil maklum perkembangan Dato,” katanya.

Menerusi kemas kini tersebut juga Jasmin memberitahu penceramah itu dibawa ke unit kecemasan sebuah hospital di Ipoh untuk membuat pemeriksaan kesihatan selepas mengalami masalah tidak boleh tidur.

“Dato’ telah dimasukkan ke dalam wad di sebuah hospital swasta di Ipoh selepas mengadu sakit perut, pinggang dan bahagian belakang badannya.

“Sebelum ini, beliau menghadapi masalah tidak boleh tidur lebih daripada dua bulan. Dan sejak dua minggu ini kesihatan beliau semakin tidak stabil sehinggalah dikejarkan ke wad kecemasan pada Ahad lepas.

“Saya dengan rendah diri memohon kepada semua agar dapat mendoakan kesihatan yang baik diberikan kepada beliau,” katanya.

Pada 10 Mei lalu, Kazim Elias sempat memuat naik mengenai tahap kesihatannya yang semakin merosot kebelakangan ini.