Raikan Wira Wonda Kita! Kongsikan kisah inspirasi wira anda & menangi wang tunai RM10,000

Sudah Lupa Penderitaan COVID-19? Pesta Air Di Wuhan Ini Cetuskan Kemarahan Ramai!

Hanafis Haris
19/08/2020 11:42 MYT

Tidak sampai tiga bulan diisytiharkan bebas daripada wabak COVID-19, penduduk Wuhan, China dilihat kembali bergembira tanpa sebarang penjarakan sosial.

Malah, satu pesta kolam telah diadakan yang mana ia membabitkan ribuan pengunjung.

Difahamkan, pesta kolam itu diadakan di Maya Beach Water Park, Wuhan minggu lalu.

Pesta tersebut membabitkan festival tarian elektronik yang lengkap dengan deejay serta penari yang memakai pakaian berwarna-warni dan pertunjukan piroteknik.

Namun, apa yang membimbangkan, pesta tersebut dilihat sangat huru hara serta melupakan penjarakan sosial atau pemakaian pelitup muka.

Malah, gambar dan video pesta tersebut telah pun viral di media sosial sekali gus menimbulkan kemarahan netizen.

Rata-rata mereka menganggap pesta itu sebagai acara yang tidak bertanggungjawab memandangkan virus COVID-19 bermula daripada bandar tersebut.

Warga Wuhan dituduh seolah-olah melupakan penderitaan orang ramai berhubung pandemik yang mengorbankan kira-kira 778,000 orang di seluruh dunia setakat ini.

Untuk rekod, Wuhan merupakan bandar yang mencatatkan kes positif Covid-19 yang pertama di seluruh dunia.

Pusat penyebaran Covid-19 dengan populasi 11 juta orang itu juga merupakan bandar pertama di seluruh dunia untuk melaksanakan perintah berkurung.

Bandar Wuhan kemudian diisytihar bebas daripada virus berkenaan pada Jun setelah ujian dijalankan ke atas 10 juta penduduk.

Sumber: Sinar Harian



#China #Wuhan #Covid19