Berita
Sudah Nasib Artis Bila Di Anak Tiri, Kena 'Makan' Dengan Label
Antara bernaung di bawah syarikat rakaman atau bergerak secara bebas, persoalan timbul mana yang lebih menguntungkan buat kerjaya seorang penyanyi?
Penyanyi zaman 90-an, Daninas Huza Daud atau lebih popular dengan gelaran Oja memberitahu peranan syarikat rakaman atau label turut bertindak membantu artis itu dapat tawaran kerja.
"Apabila bernaung di bawah label, ada bayaran setiap 'job' yang diambil mereka. Setiap perjanjian perlu ada hitam putih dan tak boleh cakap label membantu semua artis residen mereka," katanya kepada Astro Gempak.
Akuinya, wujud situasi artis syarikat rakaman itu dianak-tirikan daripada artis lain.
"Selalu bila dah sain kontrak, ada syarikat rakaman buat tidak peduli. Mereka hanya fokus pada artis popular yang ada ramai peminat.
"Tapi zaman dulu walaupun kurang mendapat 'job' selepas setahun ada juga royalti diterima artis itu," katanya.
Oja yang memulakan kerja nyanyian sejak tahun 1992 dan berpengalaman dalam banyak rakaman lagu di studio berpandangan zaman kini artis tidak terlalu bergantung pada label untuk menjadi penyanyi.
"Dulu label cari artis tapi sekarang artis cari label selepas artis menghasilkan lagu dan selesai membuat rakaman sendiri.
"Artis itu akan buat 'production', label akan jimat bahagian ini termasuk melakukan promosi dan kemudian artis itu pergi ke label cuma untuk 'release'," katanya.
Dalam usaha untuk mendapat kualiti penyanyi dan lagu, formula label mencari artis perlu digunakan semula.
Oja juga menyatakan tindakan label yang mengambil keuntungan sehingga 70 peratus daripada tawaran kerja yang diterima artis itu sendiri adalah suatu yang lumrah berlaku dalam industri muzik tempatan.
"Lain label, lain cara. Selalu label akan 'makan' lebih seperti 60 peratus untuk label manakala artis mendapat 40 peratus tapi ada juga berlaku label ambil sebanyak 70 peratus.
"Sebagai artis di bawah label juga, mereka tertakluk pada mana-mana 'job' yang dapat kena melalui label dan tidak boleh senyap-senyap," katanya.
Teks oleh: Elrafaei Sapi
Foto: Astro Gempak