Viral
Sudah Penat, Antara Alasan Semakin Ramai Pasangan Veteran Bercerai
"Saya sudah tidak cukup kuat untuk mempertahankan perkahwinan walaupun sudah 30 tahun berkahwin dengan bekas suami," kata ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Ida, 55.
Menceritakan semula kesengsaraan dialaminya, Ida berkata, dia berkahwin pada usia 22 tahun manakala bekas suaminya berusia 25 tahun ketika itu.
"Sepanjang tempoh perkahwinan kami, saya banyak bersabar dengan kerenah bekas suami. Dia kerap memukul saya serta kerap berlaku curang.
"Apa yang menguatkan jiwa saya untuk meneruskan perkahwinan ini adalah anak. Sepanjang tempoh berkahwin, suami tidak pernah berubah, malah menjadi semakin panas baran," katanya ditemui Berita Harian.
Dapat tahu dah bertahun suami curang
"Pada 2021, saya jaga suami kerana dia terlantar sakit selama tiga bulan. Selepas dia sihat, saya dapat tahu dia curang dengan wanita lain.
"Apa yang mengejutkan saya adalah hubungan sulit mereka sudah terjalin selama beberapa tahun. Hati isteri mana yang tidak sakit diperlakukan sedemikian.
"Malah, dia mengugut saya supaya membenarkannya berkahwin lagi. Saya memfailkan cerai kerana tidak sanggup hidup dalam keadaan sakit hati serta sedih," katanya.
Menurutnya, selepas beberapa bulan bercerai, dia dimaklumkan anaknya bahawa bekas suaminya yang berusia lingkungan 60-an sudah berkahwin semula.
"Walaupun ada tanggapan negatif apabila bercerai pada usia begini, tetapi saya lebih memilih untuk kehidupan yang tenang bersama anak-anak yang sudah besar.
"Sejak anak-anak kecil lagi, saya terpaksa menghadap kerenah bapa mereka," katanya.
Orang ketiga jadi punca cerai
Seorang lagi ibu tunggal yang hanya mahu dikenali sebagai Siti, 55, berkata mahligai perkahwinannya juga musnah gara-gara orang ketiga.
"Perkahwinan dengan bekas suami ini yang berusia 59 tahun adalah yang kedua ketika saya berusia 32 tahun. Sebelum ini, saya pernah berkahwin sebelum bercerai tiga tahun kemudian kerana tiada persefahaman.
"Pada awalnya, suami yang juga pekerja kilang melayan saya dan anak dengan baik sebelum saya dapati dia curang dengan rakan sekerja.
"Banyak kali dia curang, namun pelbagai alasan diberi bagi menafikan hubungan itu sehingga saya sendiri terserempak dengan mereka di pasar raya," katanya.
Apa yang lebih menyakitkan hati, katanya, hubungan sulit bekas suami dengan teman wanitanya terjalin lebih 13 tahun.
"Bayangkan, lebih 20 tahun saya hidup dengannya, separuh daripada tempoh masa itu dia bahagikan dengan teman wanitanya berusia 40-an.
"Apabila saya minta wang belanja untuk membeli keperluan rumah serta anak, dia maklum tiada duit, tetapi ada pula wang untuk dibelanjakan bagi teman wanita," katanya yang bercerai pada 2018.
Sudah muak dengan suami panas baran, bersikap toksik
Sementara itu, Zakiah, 76, berkata dia sudah muak untuk berdepan dengan perangai bekas suaminya yang panas baran.
"Bekas suami panas baran dan sentiasa mahu saya mendengar cakapnya. Beberapa tahun sebelum bercerai, saya nekad untuk tinggal di rumah anak.
"Saya cuba berbincang dengannya supaya kami duduk serumah tetapi dia enggan. Apa makna sebuah perkahwinan jika suami isteri tidak tinggal serumah.
"Disebabkan itu, saya memfailkan cerai kerana sudah tidak larat untuk berdepan dengan kerenahnya," katanya.
Zakiah turut menasihati wanita berusia yang ditindas suami supaya berani mengambil langkah untuk keluar daripada perkahwinan itu.
"Apabila berada dalam hubungan toksik terlalu lama, ia akan merosakkan mental kita kerana perlu berdepan dengan unsur negatif itu.
"Sepanjang puluhan tahun berkahwin, jiwa kita merana. Sampai bila kita perlu tanggung derita itu sedangkan golongan isteri juga berhak diperlakukan suami dengan baik," katanya.
Dalam pada itu, seorang lelaki dikenali sebagai Wan, 60-an, berdepan dilema ekoran konflik antara tiga isterinya masing-masing berusia 50-an, 40-an dan 30-an.
Menurut Wan, ketiga-tiga isterinya tidak bekerja dan bergantung sepenuhnya kepada pendapatannya.
Wujud konflik antara isteri pertama dan kedua dengan isteri ketiga yang sering mempamerkan setiap aktiviti dilakukannya bersama Wan di media sosial.
Perkara itu menimbulkan konflik antara Wan dengan isteri pertama dan kedua yang mendakwanya melebihkan isteri ketiga.
Situasi itu menyebabkan Wan rasa serba salah sehingga terpaksa merujuk masalah terbabit kepada kaunselor untuk penyelesaian.
Lebih 15 kes krisis rumah tangga babit pasangan lama setiap bulan
Lebih 15 kes krisis rumah tangga yang diterima setiap bulan membabitkan rumah tangga pasangan berusia 50-an hingga 60-an, kata Kaunselor Motivasi dan Keluarga, Husim Salleh yang turut memaklumkan, trend itu cukup membimbangkan.
"Dalam kebanyakan kes yang saya kendalikan, ia membabitkan suami curang dan berkahwin lagi tanpa pengetahuan isteri.
"Mana ada wanita yang boleh terima kehadiran perempuan lain dalam hidup suaminya.
"Apabila 'pecah tembelang', pasti berlaku 'perang besar' dan si isteri menuntut cerai," katanya ditemui di pejabatnya, semalam.
Husim berkata, kebanyakan klien lelaki memberikan alasan isteri mereka menopaus dan tidak dapat memberikan layanan intim apabila diminta.
"Lazimnya, mereka ini (suami berusia) akan mencari wanita muda seawal 20-an sebagai teman wanita untuk melayan kehendak nafsu mereka.
Wanita muda mudah termakan godaan lelaki berusia
"Golongan wanita muda pula mudah terpengaruh dengan godaan lelaki berusia kerana mereka dikatakan lebih romantik, berpengalaman serta berharta," katanya.
Bagi golongan wanita berusia pula, katanya, mereka berani mengambil tindakan untuk bercerai meskipun sudah berkahwin puluhan tahun kerana sudah 'penat'.
"Ramai klien wanita saya memaklumkan, mereka sudah penat berhadapan dengan kerenah suami termasuk yang curang.
"Sebelum ini, mereka bertahan kerana anak masih kecil. Apabila anak sudah besar dan bekerjaya, si isteri nekad untuk bercerai kerana berasakan beban tanggungjawab terhadap anak sudah tiada.
"Sudah tiba masanya bagi mereka memikirkan masa depan untuk menjalani kehidupan tanpa penderitaan dengan suami," katanya.
Beliau berkata, perceraian di usia emas bukan sahaja memberi impak kepada pasangan suami isteri berkenaan, malah kepada ahli keluarga mereka.
"Anak-anak yang ibu bapanya bercerai di usia emas pastinya berasa malu serta dibelenggu rasa bersalah kerana rasa hormat terhadap orang tuanya.
"Sepatutnya, apabila kita berusia, ini adalah masanya kita berkumpul dengan anak dan cucu tetapi sukar untuk berbuat demikian sekiranya pasangan bercerai kerana mereka sudah tidak tinggal serumah," katanya.
Beliau menasihati pasangan suami isteri yang menghadapi masalah supaya mendapatkan kaunseling bagi mengatasi permasalahan berkenaan.
"Ramai yang datang kepada saya apabila masalah mereka sudah di peringkat genting. Sepatutnya apabila sudah ada sedikit ketegangan, mereka sudah berjumpa kaunselor bagi mengelak masalah dialami melarat.
"Dalam setiap perkahwinan, perlu ada pengorbanan daripada kedua-dua pihak supaya 'masjid' yang dibina kekal utuh hingga akhir hayat," katanya.
Sumber: Berita Harian